WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) , Donald Trump, pada Isnin mengetepikan kebimbangan mengenai lonjakan harga global dan mengancam untuk memusnahkan telaga minyak, loji janakuasa dan terminal eksport utama Iran jika Tehran tidak segera menerima perjanjian damai.
Komen awal Trump yang memberi amaran mengenai kemungkinan serangan oleh tentera darat AS untuk merampas kemudahan minyak di Pulau Kharg telah pun menyebabkan harga minyak meningkat, namun pemimpin AS itu kemudian mengulangi pendiriannya dalam satu hantaran media sosial yang tegas.
Trump menyatakan keyakinan bahawa satu penyelesaian melalui rundingan akan dicapai tidak lama lagi, tetapi memberi amaran bahawa jika ia tidak berlaku atau jika Iran terus menyekat Selat Hormuz kepada kebanyakan kapal laut, tentera AS akan meletupkan Pulau Kharg serta semua telaga minyak dan kemudahan penjanaan elektrik Iran.
Iran sebelum ini memberi amaran bahawa sekiranya tapak ekonomi utamanya terus menjadi sasaran serangan AS dan Israel, ia akan menyerang infrastruktur tenaga negara-negara Arab jirannya yang kaya dengan minyak dan gas di Teluk.
Perang yang telah berlarutan selama sebulan itu sudah pun mencetuskan kekacauan kepada ekonomi global dan menggugat pasaran dunia.
Pakar pasaran memberi amaran bahawa sebarang operasi darat AS atau tindak balas lebih besar daripada Iran boleh melonjakkan harga minyak ke paras yang tidak pernah dilihat sejak ledakan komoditi Julai 2008.
Ketika itu, minyak penanda aras dunia Brent hampir mencecah AS$150 (RM604) setong, malah berpotensi meningkat lebih tinggi.
Harga minyak mentah Brent telah meningkat hampir 60 peratus bulan ini.
“Jika AS melancarkan pencerobohan darat ke atas Iran, termasuk kemungkinan mengambil alih Pulau Kharg atau jika Teheran meningkatkan serangan balas ke atas infrastruktur tenaga atau menutup sepenuhnya selat itu, unjuran harga minyak AS$200 (RM805) setong bukan lagi satu andaian yang mustahil,” kata penganalisis firma Tamas Varga dari firma PVM Energy. – AFP










