Trump guna kuasa darurat bayar gaji kakitangan TSA - Utusan Malaysia

Trump guna kuasa darurat bayar gaji kakitangan TSA

DUA anggota ICE mengawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta 25 Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengesahkan akan menandatangani perintah untuk mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) membayar pegawai keselamatan lapangan terbang yang bekerja tanpa gaji susulan kebuntuan bajet.

Ramai kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) di lapangan terbang seluruh negara itu dilaporkan tidak menerima gaji penuh sejak beberapa minggu lalu.

Trump menerusi platform Truth Social berkata, beliau akan mengarahkan Setiausaha DHS, Markwayne Mullin, supaya segera melaksanakan pembayaran kepada ejen-ejen TSA bagi menangani situasi kecemasan itu, selain menghentikan kekacauan di lapangan terbang.

Sementara itu, lapangan terbang di seluruh AS dilaporkan berdepan kelewatan panjang, dengan penumpang terpaksa menunggu sehingga beberapa jam ketika perjalanan musim bunga yang sibuk.

Pada masa sama, ketidakhadiran tidak berjadual dalam kalangan pekerja TSA meningkat ke paras tertinggi sejak penutupan DHS pada pertengahan Februari.

Pertikaian berterusan itu tertumpu kepada tuntutan wakil-wakil rakyat parti Demokrat supaya pembaharuan dilakukan terhadap agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE), yang berdepan kritikan meluas susulan taktik agresif terhadap pendatang tanpa izin serta insiden tembakan yang mengorbankan dua rakyat AS tahun ini.

Trump pula dilihat menggagalkan usaha mencapai persetujuan antara wakil-wakil rakyat Republikan dan Demokrat untuk menamatkan kebuntuan apabila menyatakan beliau tidak akan menandatangani perjanjian pembiayaan kecuali Kongres AS turut meluluskan rang undang-undang kontroversi berkaitan rombakan sistem pendaftaran pengundi.

Menerusi hantaran pada Khamis, Trump membayangkan beliau akan menggunakan kuasa darurat sebagai presiden bagi membolehkan pembayaran kepada kakitangan-kakitangan TSA, namun kaedah pelaksanaannya masih belum jelas memandangkan kuasa peruntukan kewangan terletak di bawah Kongres menurut Perlembagaan AS.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, pentadbiran Trump minggu ini mula mengerahkan ejen-ejen ICE untuk membantu tugas keselamatan. 

ICE turut berada di bawah DHS, namun dibiayai melalui rang undang-undang perbelanjaan berasingan yang diluluskan tahun lalu.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan kritikan hebat daripada Demokrat, aktivis hak asasi manusia dan sebahagian wakil rakyat Republikan selain memberi amaran anggota ICE tidak terlatih untuk tugas keselamatan penerbangan serta berisiko meningkatkan ketegangan dalam persekitaran yang sedia tegang.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN