WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan pada Rabu bahawa Iran sedang mengambil bahagian dalam rundingan damai dan penafian Teheran berlaku kerana para perundingnya takut dibunuh oleh pihak mereka sendiri.
Kenyataan pemimpin Amerika itu muncul selepas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata bahawa pihaknya tidak berniat untuk berunding.
“Mereka sedang berunding. Mereka sangat ingin membuat perjanjian. Namun, mereka (perunding) takut untuk mengakuinya kerana fikir akan dibunuh oleh pihak mereka sendiri,” kata Trump semasa majlis makan malam bersama ahli Kongres AS dari parti Republikan semalam.
“Mereka juga takut akan dibunuh oleh pihak kita,” tambahnya.
Trump mengulangi dakwaannya bahawa Iran sedang dihancurkan dalam konflik yang kini memasuki minggu keempat, walaupun Teheran masih mengawal laluan minyak penting Selat Hormuz secara berkesan.
Sebelum ini Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata kepada wartawan bahawa Trump bersedia menyerang Iran dengan lebih hebat daripada sebelumnya selepas melancarkan perang pada 28 Februari.
Apabila ditanya sama ada rundingan dengan Iran tergendala, Leavitt menjawab: “Rundingan berterusan. Ia produktif.”
Leavitt enggan memberitahu dengan siapa AS berurusan di Teheran selepas pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei manakala anaknya, Mojtaba Khamenei yang menjadi penggantinya masih belum dilihat di khalayak ramai.
Laporan mencadangkan bahawa perantara pentadbiran Trump ialah Mohammad Bagher Ghalibaf, pengerusi parlimen Iran dan salah seorang tokoh bukan ulama paling menonjol di negara itu tetapi beliau menafikannnya.
Leavitt juga enggan mengesahkan laporan bahawa pegawai kanan AS termasuk Naib Presiden AS, JD Vance dijadual mengadakan rundingan dengan Iran di Pakistan, yang muncul sebagai perantara utama.
Trump kini memindahkan ribuan askar tambahan ke rantau Teluk di tengah spekulasi bahawa beliau mungkin mengarahkan pencerobohan darat untuk merampas aset minyak Iran. – AGENSI/AFP











