WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin memuji perbincangan sangat baik dengan seorang pegawai Iran yang tidak dikenal pasti selepas secara tiba-tiba menangguhkan rancangan untuk melancarkan serangan baharu.
Pendedahan mengejutkan itu yang dinafikan oleh Teheran yang menuduh Trump memanipulasi pasaran tenaga berlaku menjelang tarikh akhir Isnin malam yang ditetapkan oleh presiden AS tersebut bagi Iran membuka semula laluan perkapalan Selat Hormuz atau menghadapi pemusnahan loji tenaga mereka oleh AS.
Harga minyak jatuh dan pasaran saham melonjak apabila pemerhati cuba mentafsir kenyataan Trump walaupun dengan penafian Iran.
Laman berita Axios memetik seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan mengenal pasti perantara Trump sebagai Mohammad Bagher Ghalibaf, speaker parlimen Iran dan salah seorang tokoh bukan ulama paling terkenal di negara itu.
Berucap kepada wartawan, Trump menyatakan bahawa pegawai Amerika telah mengadakan apa yang beliau gambarkan sebagai perbincangan kukuh dengan wakil-wakil Iran dan kedua-dua pihak dilihat bersedia untuk meneruskan hasil yang dirundingkan.
“Kami telah mengadakan perbincangan kukuh dengan Iran,” kata Trump, sambil menambah bahawa rundingan itu telah berlangsung sepanjang hujung minggu dan berlanjutan sehingga malam Ahad.
Menurut presiden AS itu, rundingan tersebut melibatkan tokoh kanan pentadbiran, termasuk utusan negara itu ke Asia Barat, Steve Witkoff dan ‘wakil keamanan’, Jared Kushner yang juga menantu Trump, dilaporkan mengadakan hubungan dengan wakil Iran sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik.
Presiden AS itu menyetakan bahawa kemajuan telah dicapai dalam beberapa isu utama dengan mendakwa terdapat 15 titik persetujuan antara kedua-dua pihak.
Walaupun tidak memberikan butiran terperinci, beliau menekankan bahawa menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear kekal sebagai objektif utama Washington.
“Mereka telah bersetuju untuk tiada senjata nuklear..
“Kami mahukan tiada senjata nuklear dan keamanan di Asia Barat,” tambahnya.
Iran diserang oleh AS-Israel pada 28 Februari lalu sebelum Teheran melakukan serangan balas yang mengorbangkan lebih 1,400 orang di rantau Asia Barat selepas Teheran dan Washington mengadakan rundingan nuklear di Geneva, Switzerland.
Presiden itu menunjukkan bahawa komunikasi lanjut antara kedua-dua pihak mungkin akan berlaku tidak lama lagi.
“Saya berharap dapat bertemu tidak lama lagi. Saya harap kita boleh menyelesaikan ini,” tambah Trump.
Trump juga berkata, pegawai AS telah berhubung dengan tokoh kanan dalam kepimpinan Iran.
“Kami bercakap dengan kepimpinan tertinggi. Kami bercakap dengan seorang pemimpin Iran yang dihormati,” katanya.
Trump menambah bahawa beliau tidak menerima sebarang komunikasi daripada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei dan tidak menganggapnya sebagai pemimpin negara itu.
Beliau turut mengulas tentang keselamatan Khamenei.
“Saya tidak mahu beliau dibunuh,” katanya, sambil menyatakan ketidakpastian mengenai situasi semasa dalam kalangan kepimpinan Iran.
Laman berita itu dan agensi berita Reuters melaporkan bahawa Witkoff dan Kushner mungkin akan mengadakan rundingan dengan delegasi Iran di Pakistan secepat-cepatnya minggu ini dengan Naib Presiden AS, JD Vance berkemungkinan turut menyertainya. – AFP/AGENSI
I











