WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus menghantar mesej yang bercanggah mengenai perang dengan Iran apabila berkata pada satu perhimpunan di Hebron, Kentucky, pada Rabu bahawa perang itu telah dimenangi oleh Amerika.
Namun, beliau berkata, walaupun sudah menang tetapi AS tidak mahu berundur dari negara tersebut.
Trump memberitahu ratusan penyokong yang berkumpul di dalam sebuah kilang pembungkusan di utara Kentucky bahawa kemampuan ketenteraan dan nuklear Iran telah dikurangkan dengan ketara.
Beliau berkata, bilangan dron Iran telah menurun kira‑kira 85 peratus dan kilang‑kilang yang menghasilkan peralatan tersebut sedang dihancurkan oleh tentera AS.
Ini sebahagian daripada mesej Trump yang menggambarkan operasi tentera sebagai berjaya dan menunjukkan bahawa banyak infrastruktur ketenteraan Iran telah hampir musnah.
Namun, kenyataannya mencerminkan naratif kemenangan sambil menunjukkan bahawa operasi perang masih diteruskan.
Dengan Trump dan rakan-rakannya dari parti Republikan berada di bawah tekanan, menurut tinjauan pendapat, akibat ekonomi yang perlahan, tindakan tegas terhadap imigresen dan konflik Iran, presiden tersebut menekankan bahawa pilihan raya separuh penggal tahun ini akan menjadi sangat penting.
Sementara itu, Trump memberitahu laman berita Axios dalam satu temu bual telefon ringkas pada Rabu bahawa perang dengan Iran akan berakhir tidak lama lagi kerana secara praktikalnya tiada sasaran lagi untuk diserang.
“Sedikit sini dan sana. Bila-bila masa saya mahu ia berakhir, ia akan berakhir,” kata Trump semasa panggilan selama lima minit itu.
Walaupun Trump secara terbuka menandakan bahawa operasinya telah mencapai kebanyakan objektifnya, pegawai-pegawai Amerika dan Israel berkata, tiada arahan dalaman mengenai bila pertempuran mungkin dihentikan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pada Rabu berkata: “Perang akan diteruskan tanpa had masa, selama mana yang diperlukan, sehingga kita mencapai semua objektif dan menang secara muktamad dalam kempen ini.”
Pegawai-pegawai Israel dan AS berkata, mereka sedang bersiap sedia untuk sekurang-kurangnya dua minggu lagi menyerang Iran.
Trump sendiri enggan menyatakan bila perang akan berakhir.
Jet-jet AS dan Iran mula melancarkan serangan di Teheran pada 28 Februari lalu menyebabkan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh akibat dibom di pejabatnya yang juga kediamannya. – AGENSI










