Trump benar Russia hantar minyak ke Cuba

Trump benar Russia hantar minyak ke Cuba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Moscow boleh menghantar minyak ke Cuba walaupun sekatan bahan api de facto oleh Washington, ketika sebuah kapal tangki Russia dijangka menghantar minyak mentah yang amat diperlukan ke pulau yang sedang dilanda krisis itu.

Walaupun penghantaran tersebut akan memberi sedikit kelegaan kepada negara itu, Trump sekali lagi mengeluarkan ancaman terhadap kerajaan komunis Cuba, dengan meramalkan ia akan gagal dalam tempoh yang singkat.

Kapal Anatoly Kolodkin yang membawa 730,000 tong minyak mentah berada di timur laut Cuba pada petang Ahad dan dijangka berlabuh di pelabuhan barat Matanzas menjelang Selasa, menurut data pengesan kapal MarineTraffic.

Ia merupakan penghantaran minyak pertama ke pulau itu sejak Januari, sekali gus memberikan kelegaan sementara kepada negara dengan penduduk 9.6 juta orang itu yang kini berdepan krisis tenaga dan ekonomi meruncing.

“Jika mana-mana negara mahu menghantar minyak ke Cuba sekarang, saya tiada masalah dengan itu, sama ada Russia atau tidak.

“Cuba sudah hancur, mereka mempunyai rejim yang buruk, kepimpinan yang sangat lemah dan korup dan sama ada mereka menerima kapal minyak atau tidak, ia tidak akan mengubah keadaan.

“Saya lebih cenderung membenarkannya masuk, sama ada dari Russia atau pihak lain, kerana rakyat memerlukan pemanasan, penyejukan dan keperluan asas lain,” kata Trump kepada wartawan ketika dalam penerbangan pulang ke Washington dari Mar-a-Lago, Florida.

Cuba kehilangan sekutu utama serantau dan pembekal minyaknya pada Januari apabila tentera AS menahan pemimpin sosialis Venezuela, Nicolas Maduro.

Trump kemudian mengancam untuk mengenakan tarif ke atas mana-mana negara yang menghantar minyak ke Cuba dan turut membayangkan kemungkinan ‘mengambil alih’ pulau itu.

“Dalam tempoh singkat, ia akan gagal, dan kami akan berada di sana untuk membantu.

“Kami akan membantu rakyat Cuba-Amerika yang hebat yang diusir dari Cuba, dalam banyak kes ahli keluarga mereka diseksa dan dibunuh oleh Fidel Castro. Cuba akan menjadi yang seterusnya, ” katanya pada Ahad.

Selepas Washington melaksanakan sekatan minyak, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel melaksanakan langkah kecemasan untuk menjimatkan bahan api, termasuk catuan ketat petrol.

Beliau memberi amaran bulan ini mana-mana penceroboh luar akan berdepan tentangan yang tidak dapat dipatahkan.

Harga bahan api melonjak, pengangkutan awam berkurangan dan beberapa syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke Cuba, sekali gus menjejaskan ekonomi negara yang rapuh.

Rakyat Cuba turut berdepan gangguan bekalan elektrik yang kerap apabila loji janakuasa usang gagal memenuhi permintaan, dengan tujuh gangguan besar di seluruh negara sejak 2024, termasuk dua pada bulan ini, yang mencetuskan protes jarang berlaku.

Konvoi bantuan kemanusiaan turut membawa lebih 50 tan ubat-ubatan, makanan, panel solar dan barangan lain ke Cuba melalui udara dan laut sejak beberapa hari lalu.

Kapal Anatoly Kolodkin yang berada di bawah sekatan AS berlepas dari pelabuhan Primorsk di Russia pada 8 Mac.

Ia diiringi kapal tentera laut Russia merentasi Selat Inggeris, namun kedua-dua kapal itu berpisah apabila kapal tangki tersebut memasuki Lautan Atlantik, menurut Tentera Laut Diraja Britain.

Akhbar The New York Times, memetik pegawai AS yang tidak dinamakan, melaporkan Pengawal Pantai AS membenarkan kapal tangki itu menuju ke Cuba.

Sebuah lagi kapal yang dilaporkan membawa diesel Russia ke Cuba, Sea Horse yang berdaftar di Hong Kong, telah mengubah haluan ke Venezuela minggu ini.

Menurut Pakar Sektor Tenaga Cuba di Universiti Texas di Austin, Jorge Pinon, sebaik sahaja minyak mentah Anatoly Kolodkin tiba di Cuba, ia memerlukan kira-kira 15 hingga 20 hari untuk diproses dan tambahan lima hingga 10 hari untuk menghantar produk bertapisnya.

“Keperluan paling mendesak di Cuba ketika ini ialah diesel. Penghantaran dari Russia itu boleh ditukar kepada sekitar 250,000 tong diesel, mencukupi untuk memenuhi permintaan negara selama kira-kira 12.5 hari,” kata bekas eksekutif minyak itu.

Menurut Pinon, kerajaan perlu memutuskan sama ada bahan api itu digunakan untuk penjana elektrik sokongan atau untuk bas, traktor dan kereta api yang diperlukan bagi memastikan ekonomi terus bergerak selama dua minggu.

“Jika anda Diaz-Canel atau pihak yang membuat keputusan, anda akan bertanya, ‘ke mana diesel ini harus disalurkan? Adakah saya mahu menjana lebih banyak elektrik supaya gangguan bekalan berkurangan? Atau saya mahu menyalurkannya kepada sektor pengangkutan?” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN