WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengarahkan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa (DFC) AS untuk memberikan perlindungan insurans menyeluruh serta jaminan yang tidak dinyatakan bagi perdagangan maritim di tengah-tengah peperangan yang semakin memuncak antara AS-Israel menentang Iran.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, beliau menyatakan arahan tersebut berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan DFC menyediakan insurans risiko politik dan jaminan keselamatan kewangan pada harga yang sangat berpatutan untuk semua perdagangan maritim, terutamanya sektor tenaga yang melalui Teluk.
Trump turut menambah perkhidmatan ini terbuka kepada semua syarikat perkapalan dan jika perlu, Tentera Laut AS akan mula mengiringi kapal-kapal tangki melalui Selat Hormuz secepat mungkin bagi memastikan kelancaran aliran tenaga ke seluruh dunia.
Presiden AS itu juga menyatakan akan mengumumkan tindakan tambahan pada tarikh akan datang memandangkan DFC merupakan sebuah bank pembangunan di bawah kerajaan AS.
Harga tenaga dilaporkan melonjak naik sejak Trump dan Israel melancarkan serangan di seluruh Iran bermula awal pagi Sabtu lalu yang membunuh pemimpin kanannya termasuk Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan bertubi-tubi yang menyasarkan pangkalan AS, kemudahan diplomatik dan kakitangan tentera di seluruh rantau tersebut serta beberapa bandar di Israel.
Harga minyak sememangnya menunjukkan trend peningkatan sebelum serangan bermula, di mana pada 27 Februari, minyak mentah Brent ditutup tinggi sebanyak dua perpuluhan lapan peratus pada harga AS$73 (RM288.17) setong manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat dua perpuluhan enam peratus kepada AS$67.17 (RM265.15).
Walaupun pasaran ditutup pada 28 Februari dan 1 Mac yang menghalang reaksi harga serta-merta terhadap laporan serangan, premium risiko geopolitik yang terkumpul menyebabkan lonjakan mendadak pada pembukaan awal minggu.
Pada 2 Mac, harga Brent melonjak tujuh perpuluhan satu peratus untuk ditutup pada AS$78.15 (RM308.5) sementara WTI meningkat enam perpuluhan dua peratus kepada AS$71.33 (RM281.55), sekali gus melonjakkan harga minyak ke paras tertinggi baru-baru ini.
Kebimbangan mengenai gangguan bekalan yang lebih serius semakin meruncing susulan kenyataan Brigedier Jeneral Ebrahim Jabbari, penasihat kanan kepada komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang mendakwa transit kapal dan tangki minyak melalui Selat Hormuz telah dihentikan serta memberi amaran bahawa kapal yang cuba melaluinya akan menjadi sasaran.
Kenyataan tersebut yang dikeluarkan semasa waktu dagangan global yang agak rendah pada 2 Mac, memacu harga Brent untuk menguji paras AS$80.80 (RM318.93) dalam dagangan awal di Asia, menandakan paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 bulan. -AGENSI










