Tiada negara ‘kebal’ daripada krisis tenaga 

Tiada negara ‘kebal’ daripada krisis tenaga 

FATIH BIROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Ekonomi global kini berdepan ancaman terbesar akibat krisis tenaga yang dicetuskan oleh perang di Asia Barat dengan pakar memberi amaran tiada satu pun negara yang akan terlepas daripada kesannya.

Perang di Asia Barat berpotensi mencetuskan krisis tenaga terburuk berbanding gabungan kejutan minyak pada tahun 1970-an serta setanding dengan kesan awal pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.

Amaran itu disuarakan oleh Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol dalam kenyataan kepada media Australia semasa satu acara di Canberra.

“Ramai antara kita masih ingat dua krisis minyak berturut-turut pada tahun 1970-an. Ketika itu, setiap krisis menyebabkan dunia kehilangan kira-kira lima juta tong minyak sehari, menjadikan jumlah keseluruhan 10 juta tong sehari.

“Setakat hari ini, kita sudah kehilangan 11 juta tong sehari, lebih besar daripada dua kejutan minyak utama itu jika digabungkan.

“Justeru tiada negara yang akan ‘kebal’ daripada kesan krisis tenaga ini jika ia berterusan ke arah ini. Maka, usaha global amat diperlukan,” jelasnya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Teheran saling mengeluarkan ancaman ketika perang memasuki minggu keempat.

Trump menuntut Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran minyak dan gas dunia.

Kesesakan di laluan sempit itu hampir menghentikan sepenuhnya penghantaran petroleum.

Harga minyak meningkat semula awal Isnin, dengan penanda aras minyak mentah AS seketika mencecah paras AS$100 (RM393) setong.

Birol turut memberitahu media Australia, sekurang-kurangnya 40 aset tenaga merentasi sembilan negara di rantau Asia Barat rosak teruk akibat konflik yang melanda.

Israel melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Iran pada Isnin, manakala Teheran mengancam untuk membalas dengan menyasarkan infrastruktur penting di seluruh rantau Asia Barat. 

Letupan kedengaran di Teheran, menurut media Iran, sementara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan berjaya memintas peluru berpandu dan dron yang menyasarkan beberapa pangkalan mereka.

Dengan harga minyak yang meningkat akibat kebimbangan bekalan, Trump mengugut untuk memusnahkan loji kuasa Iran jika Tehran gagal membuka semula selat itu dalam tempoh 48 jam.

Namun Iran memberi respons tegas, dengan Speaker Parlimennya, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran infrastruktur penting di rantau itu akan dianggap sebagai sasaran sah dan akan dimusnahkan tanpa boleh dipulihkan jika ancaman itu dilaksanakan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Iran membenarkan beberapa kapal dari negara yang dianggap ‘sahabat’ untuk melalui Selat Hormuz, sambil memberi amaran akan menyekat kapal dari negara yang disifatkan terlibat dalam pencerobohan terhadapnya.

Parlimen Iran sedang mempertimbangkan untuk mengenakan caj ke atas kapal yang melalui selat itu, dengan Ghalibaf berkata, trafik maritim tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang.

Trump turut memberi isyarat bercampur mengenai tempoh perang, termasuk menyatakan kemungkinan untuk mengurangkan operasi sebelum mengeluarkan ancaman baharu.

PASARAN ASIA MERUDUM

Ketegangan yang tercetus melonjakkan harga minyak dan menjejaskan pasaran saham global, dengan Seoul serta Tokyo yang sebelum ini mencatat prestasi terbaik menanggung tekanan jualan teruk, masing-masing  jatuh 6.5 peratus dan 3.5 peratus.

Mata wang won Korea Selatan merosot kepada 1,510 won per dolar, paras paling lemah sejak 2009.

Hong Kong dan Shanghai kehilangan lebih daripada tiga peratus, manakala Singapura, Taipei, Mumbai, Bangkok dan Manila masing-masing turun antara dua hingga tiga peratus. Sydney dan Wellington juga berada dalam zon negatif yang mendalam.

London, Paris dan Frankfurt dibuka pada paras rendah yang ketara.

Pakar Ekonomi Firma Pepperstone, Chris Weston berkata, langkah Trump bukan sahaja memberi implikasi besar kepada pasaran sepanjang minggu ini tetapi juga menjelang akhir bulan serta suku tahun.

“Walaupun Trump sebelum ini sering menarik diri daripada tindakan tegas, beliau juga menunjukkan kredibiliti dalam melaksanakan tindakan ketenteraan apabila tuntutan tidak dipenuhi, jadi pasaran akan mengambil kira catatan hujung minggu beliau di Truth Social,” jelasnya.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mempertahankan pelepasan sementara sekatan AS ke atas minyak Iran dan Russia untuk meredakan kegawatan pasaran, mendakwa ia mengurangkan kemampuan Iran menjual minyak pada harga tinggi kerana minyak itu tetap akan dijual ke China.

Ketua Syarikat Minyak TotalEnergies Perancis, Patrick Pouyanne berkata, jika perang berlarutan lebih daripada enam bulan, semua ekonomi dunia akan terjejas.

“Jika konflik ini berlangsung hanya tiga hingga empat bulan, kita masih boleh menanganinya menggunakan inventori minyak sedia ada,” jelasnya.

Namun, dengan penutupan Selat Hormuz oleh Iran yang menutup laluan biasa bagi kira-kira 20 peratus pengeluaran minyak global, perang yang lebih panjang dijangka memberi impak sebenar.

Pemerhati turut memberi amaran kemungkinan kenaikan inflasi yang boleh memaksa bank pusat menaikkan kadar faedah, manakala gangguan penghantaran baja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan global.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN