LONDON: United Kingdom (UK) menyangkal dakwaan Israel berhubung Iran memiliki peluru berpandu jarak jauh yang mampu mencapai London.
Setiausaha Perumahan UK, Steve Reed berkata, tiada penilaian khusus yang menunjukkan Iran menyasarkan UK, atau mampu berbuat demikian jika mahu, susulan kenyataan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa Teheran mempunyai senjata yang boleh mencapai sehingga 4,000 kilometer (km).
“Kami mampu sepenuhnya melindungi negara ini dan memastikan keselamatan, sama ada di tanah air atau aset dan rakyat kami di seluruh rantau,” katanya dalam temu bual di program Sunday with Laura Kuenssberg di BBC.
Beliau berkata, walaupun Iran mampu melancarkan serangan sejauh itu, angkatan tentera British tetap mampu mempertahankan UK.
Kenyataan itu timbul selepas Teheran dilaporkan menyerang pangkalan tentera bersama Amerika Syarikat (AS)-UK di Kepulauan Chagos di Lautan Hindi, kira-kira 3,800 km dari Iran.
Reed enggan mendedahkan sejauh mana peluru berpandu itu menghampiri wilayah negara tersebut, dengan menegaskan beliau tidak boleh berkongsi ‘butiran operasi’.
Iran melepaskan dua peluru berpandu balistik ke arah Diego Garcia, satu gagal dan jatuh sebelum sampai sasaran, manakala satu lagi berjaya dipintas, kata Reed.
Menurut Wall Street Journal, peluru berpandu yang dipintas hilang selepas sebuah kapal pemusnah AS melepaskan tembakan ke arahnya.
Selepas berita percubaan itu tersebar, IDF pada Sabtu mengulangi pendedahannya tahun lalu mendakwa Teheran berniat membangunkan peluru berpandu yang mampu mencapai Eropah, Asia dan Afrika.
“Kami telah mengatakan, Iran merupakan ancaman global. Kini, dengan peluru berpandu yang boleh mencapai London, Paris atau Berlin,” kata IDF.
Senjata jarak jauh dalam aset pertahanan Iran dipercayai mempunyai jarak maksimum 2,000 km, jauh daripada Diego Garcia dan London, walaupun ditembak dari dalam sempadan Iran yang terdekat.
Beberapa hari sebelum AS dan Israel memulakan serangan ke atas Iran, Presiden, Donald Trump mendakwa negara itu membangunkan peluru berpandu yang boleh mengancam Eropah serta sedang berusaha membina peluru berpandu yang mampu menyerang AS.
Awal bulan ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, negaranya sengaja mengehadkan jarak peluru berpandunya kepada 2,000 km kerana tidak mahu dianggap sebagai ancaman oleh mana-mana pihak di dunia.











