Tembakan peneroka haram Israel ragut dua nyawa di Tebing Barat

Tembakan peneroka haram Israel ragut dua nyawa di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan dua warga Palestin ditembak mati oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat, menjadikannya insiden maut kedua dalam tempoh dua hari.

Menurut kenyataan kementerian, Thaer Faruq Hamayel, 24 dan Farea Jawdat Hamayel, 57, terbunuh akibat tembakan penduduk penempatan haram Israel di bandar Abu Falah, timur laut Ramallah.

Kenyataan itu tidak menyebut bila kejadian berlaku atau memberikan butiran lanjut.

Apabila dihubungi AFP, tentera Israel berkata, mereka sedang menyiasat laporan tersebut.

Keganasan di Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967 meningkat dengan ketara sejak perang Gaza pada Oktober 2023. Keganasan ini terus berlanjutan walaupun gencatan senjata diisytiharkan.

Pada Sabtu, kementerian kesihatan Palestin di Ramallah dan seorang datuk bandar tempatan melaporkan peneroka haram Israel menembak mati seorang lelaki Palestin dan mencederakan abangnya dalam serangan di sebuah kampung lain, Wadi al-Rakhim.

Ketua majlis kampung Tuwani yang berdekatan, Mohammad Rabai memberitahu AFP, kumpulan peneroka haram itu memasuki rumah-rumah di kawasan berkenaan dan menyerang keluarga lelaki berusia 27 tahun, Amir Mohammad Shnaran, yang kemudian meninggal dunia.

Tentera Israel berkata, tentera dan polis telah dihantar ke lokasi selepas laporan mengenai pertembungan ganas antara warga Israel dan Palestin. Satu siasatan kini sedang dijalankan.

Sejak permulaan perang Gaza, tentera Israel dan kumpulan peneroka haram membunuh sekurang-kurangnya 1,042 penduduk Palestin, termasuk ramai pejuang dan juga sejumlah besar orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan data kementerian kesihatan Palestin.

Sekurang-kurangnya 45 penduduk Israel, termasuk tentera dan orang awam, terbunuh dalam serangan Palestin atau semasa operasi ketenteraan Israel, menurut angka rasmi Israel.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN