LONDON: Dua individu yang disyaki terlibat dalam siri kecurian bahan api berjaya diberkas selepas pihak polis memintas sebuah van yang dilengkapi dengan peralatan pam canggih di Hertfordshire.
Unit Polis Trafik Bedfordshire, Cambridgeshire, dan Hertfordshire (BCH) menahan van jenis Ford Transit tersebut di St. Albans pada Khamis lalu.
Kenderaan itu disyaki digunakan dalam beberapa siri kecurian bahan api di wilayah Suffolk.
Terdahulu, pihak polis melaporkan beberapa insiden kecurian minyak di kawasan Hollesley, termasuk kejadian di Duck Corner pada 6 Mac lalu.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut, pegawai polis menemukan sistem penyedut minyak canggih bersama sebuah Bekas Pukal Pertengahan (IBC) yang biasanya mempunyai kapasiti sehingga 1,000 liter.
Kedua-dua suspek ditahan atas tuduhan mencuri dan memiliki peralatan untuk melakukan kecurian.
Tangkapan ini berlaku ketika harga petrol tanpa plumbum dan diesel terus tidak menentu akibat konflik di Asia Barat.
Selain itu, terdapat peningkatan mendadak dalam kos minyak pemanas, yang kini menjadi sasaran utama pencuri.
Kejadian ini juga berlaku ketika ratusan penduduk di seluruh wilayah tersebut dilaporkan sukar mendapatkan bekalan minyak pemanas selepas pesanan mereka dibatalkan oleh pengedar.
Susulan itu, pihak polis telah mengeluarkan panduan keselamatan bagi membantu orang ramai mencegah kecurian minyak pemanas, antaranya mengesyorkan orang ramai agar menyembunyikan lokasi tangki minyak, memasang kunci atau mangga pada penutup pengisi, serta memastikan tangki diletakkan di dalam sangkar berpagar yang berkunci.
Selain itu, pemasangan teknologi seperti tolok elektronik dengan penggera, lampu penderia keselamatan, dan kamera litar tertutup (CCTV) amat digalakkan bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan tangki. -AGENSI










