Taiwan boikot persidangan WTO selepas dilabel 'Wilayah China'

Taiwan boikot persidangan WTO selepas dilabel ‘Wilayah China’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Taiwan mengumumkan tidak akan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Cameroon susulan pertikaian dengan negara tuan rumah berhubung nama yang digunakan untuk pulau demokrasi itu dalam dokumen visa.

Kementerian luar Taiwan memaklumkan sudah mengemukakan bantahan keras selepas Cameroon menamakan pulau itu sebagai ‘Taiwan, Wilayah China’ dalam dokumen yang dikeluarkan kepada delegasi Taiwan sebelum mereka berlepas ke acara pada 26 hingga 29 Mac itu.

Menurut kenyataan kementerian itu, Cameroon kemudian memberikan ahli kumpulan itu pengecualian visa, namun dokumen tersebut tidak menyatakan kewarganegaraan mereka, tersalah eja beberapa nama dalam bahasa Inggeris dan mengenal pasti hampir semua mereka sebagai wanita, sambil menyatakan jelas bahawa negara Afrika Tengah itu tidak mempunyai niat tulus untuk menyelesaikan isu tersebut.

China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatannya dan telah berusaha menyingkirkan pulau yang memerintah sendiri itu dari pentas antarabangsa dengan menyekat atau menghalang aksesnya ke forum global, serta menentang penggunaan nama Taiwan atau Republik China, iaitu nama rasminya.

“Memandangkan ahli delegasi kami mungkin menghadapi halangan jika mereka cuba memasuki Cameroon dengan dokumen yang penuh dengan maklumat tidak tepat, dan demi mempertahankan maruah negara kami, kami tidak mempunyai pilihan selain untuk tidak hadir.

“Kementerian Luar menegaskan bahawa negara kami menyertai WTO sebagai ‘wilayah kastam berasingan’ yang tidak berada di bawah mana-mana ahli lain dan hak sama rata kami untuk mengambil bahagian tidak boleh dicabuli,” kata kementerian itu.

Sebelum ini, Taiwan menuduh Cameroon tunduk kepada China. WTO bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu itu.

Taiwan menyertai WTO pada tahun 2002, tidak lama selepas China, dan nama rasminya dalam organisasi itu ialah Wilayah Kastam Berasingan Taiwan, Penghu, Kinmen dan Matsu (Chinese Taipei).

Persidangan peringkat menteri WTO, badan pembuat keputusan tertingginya, akan berlangsung di Yaoundé, ibu negara Cameroon. Ia biasanya diadakan setiap dua tahun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN