Syria kerah ribuan tentera ke sempadan Lubnan

Syria kerah ribuan tentera ke sempadan Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan pengukuhan kawalan di sempadannya dengan Lubnan, manakala sumber keselamatan mendedahkan penglibatan unit roket dan ribuan anggota tentera ketika konflik serantau melibatkan Israel dan Hezbollah semakin meruncing.

Laporan ini disahkan oleh lapan sumber daripada pihak Syria dan Lubnan, termasuk lima pegawai tentera Syria, seorang pegawai keselamatan Syria dan dua pegawai keselamatan Lubnan yang enggan dikenali.

Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan tentera telah memperkukuh kedudukan di sepanjang sempadan Lubnan dan Iraq sebagai sebahagian daripada usaha untuk melindungi dan mengawal sempadan di tengah-tengah konflik serantau yang semakin memuncak.

Unit yang dikerahkan terdiri daripada pengawal sempadan dan batalion peninjau yang ditugaskan untuk memantau aktiviti sempadan serta membanteras penyeludupan.

Pegawai Syria berkata, operasi pengukuhan ini bermula pada Februari namun semakin dipercepatkan sejak kebelakangan ini, sementara angkatan tentera Syria dan Lubnan tidak memberikan maklum balas segera untuk ulasan.

Pegawai Syria, termasuk seorang anggota kanan tentera berkata, langkah tersebut bertujuan untuk menghalang penyeludupan senjata dan dadah serta menyekat Hezbollah yang disokong Iran atau kumpulan lain daripada menyusup masuk ke Syria.

Seorang pegawai Syria memberitahu Reuters, formasi tentera daripada beberapa divisyen tentera Syria, termasuk Divisyen ke-52 dan ke-84, telah meluaskan kehadiran mereka di sepanjang sempadan di kawasan luar bandar barat Homs dan selatan Tartus.

Pengukuhan tersebut melibatkan unit infantri, kenderaan berperisai, serta pelancar roket jarak dekat Grad dan Katyusha.

Pegawai keselamatan Syria itu menegaskan Damsyik tidak mempunyai rancangan untuk tindakan ketenteraan terhadap mana-mana negara jiran.

Namun katanya, Syria bersedia untuk menangani sebarang ancaman keselamatan terhadap diri sendiri atau sekutunya.

Walaupun begitu, langkah tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pegawai Eropah dan Lubnan mengenai kemungkinan pencerobohan.

Pegawai tentera Syria menafikan sekeras-kerasnya rancangan sedemikian dan menyatakan pihaknya mahukan hubungan yang seimbang dengan jirannya selepas berdekad-dekad hubungan tegang yang dikaitkan dengan pengaruh besar Syria di Lubnan serta sokongan Hezbollah kepada kerajaan bekas Presiden, Bashar al-Assad semasa perang saudara selama 14 tahun. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN