Slovenia jadi negara EU pertama perkenal catuan bahan api

Slovenia jadi negara EU pertama perkenal catuan bahan api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LJUBLJANA: Slovenia menjadi negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pertama yang melaksanakan catuan bahan api bagi menangani gangguan bekalan akibat serangan AS- Israel ke atas Iran.

Banyak negara kini mengalami kenaikan mendadak harga bahan api berikutan serangan itu serta tindak balas Iran terhadap sekutu mereka di rantau Teluk yang merupakan antara pemain utama dalam pasaran tenaga dunia.

Di Slovenia, keadaan ini mencetuskan fenomena yang digelar sebagai ‘pelancongan bahan api’, apabila pemandu dari negara jiran, khususnya Austria, mengambil kesempatan terhadap harga yang lebih rendah dan dikawal di negara itu.

Di bawah langkah baharu, pemandu persendirian di Slovenia dihadkan kepada maksimum pembelian 50 liter bahan api sehari. Perniagaan dan petani pula diberikan had lebih tinggi iaitu 200 liter.

Sesetengah peruncit bahan api telah pun melaksanakan langkah mereka sendiri. MOL Group dari Hungary, yang mengendalikan stesen minyak di seluruh rantau tersebut, telah lebih awal menetapkan had 30 liter.

“Biar saya yakinkan anda bahawa terdapat bekalan bahan api yang mencukupi di Slovenia, gudang-gudang penuh dan tidak akan berlaku kekurangan bahan api,” kata Perdana Menteri, Robert Golob pada hujung minggu lalu.

Di bawah langkah kerajaan beliau, sekatan seluruh negara itu akan dipantau oleh stesen minyak sendiri, dengan pekerja dikehendaki memastikan pelanggan tidak membeli melebihi had yang ditetapkan.

Kerajaan juga menggalakkan peruncit bahan api untuk mengenakan had lebih ketat ke atas pemandu asing.

Harga bagi satu liter petrol Euro-super 95 di Austria kini menghampiri 1.80 euro (RM8.22), manakala diesel hampir mencecah 2.00 euro (RM9.14).

Di Slovenia pula, harga kini dihadkan pada maksimum 1.47 euro (RM6.71) dan 1.53 euro (RMRM6.99) masing-masing, walaupun ia dijangka meningkat pada Selasa.

Seorang pemandu lori di Sentilj berhampiran sempadan utara Slovenia dengan Austria, tertanya-tanya sama ada negaranya ‘sedang berperang’ apabila tiba di sebuah stesen minyak yang kehabisan bahan api sepenuhnya.

“Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini sebelum ini,” kata lelaki itu kepada media tempatan. Laporan dari rantau tersebut menunjukkan beliau bukanlah satu-satunya yang berasa keliru.

Bagi sesetengah pemandu Austria, perbezaan harga ini cukup untuk mendorong mereka merentasi sempadan.

Ahli politik sayap kanan Austria yang juga Ketua Parti Kebebasan, Herbert Kickl menggunakan perjalanan mengisi minyaknya sebagai propaganda politik dengan memuat naik gambar barisan kenderaan berplat Austria yang menunggu untuk mengisi minyak di stesen minyak Slovenia.

“Bukankah ini menyedihkan bahawa kita hidup di negara di mana ramai terpaksa pergi ke luar negara untuk mendapatkan kos sara hidup yang lebih murah?” katanya.

Sebahagian rakyat Slovenia melihat kehadiran pelawat ini sebagai gangguan, kerana menyebabkan barisan panjang dan kekurangan bekalan untuk penduduk tempatan.

Namun, ada juga yang lebih terbuka, merasakan ramai ‘pelancong bahan api’ ini turut mengambil peluang untuk makan di restoran tempatan dan berbelanja di kedai mereka.

Ada berpendapat mengambil peluang daripada situasi ini mungkin adalah pilihan terbaik kerana selagi perbezaan harga berterusan, ‘pelancong bahan api’ akan terus merentasi sempadan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN