Serangan meluas Israel di Lubnan musnahkan hotel, kediaman

Serangan meluas Israel di Lubnan musnahkan hotel, bangunan kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Serangan Israel membedil sebuah hotel di Beirut dan bangunan kediaman di timur Lubnan ketika rejim Zionis mengumumkan serangan berskala besar ke atas Hezbollah yang giat melancarkan peluru berpandu dan dron berulang kali.

Media rasmi Lubnan berkata, serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan di Baalbek di timur Lubnan jauh daripada sempadan, serta sebuah hotel berhampiran Beirut di kawasan yang sebelum ini terlepas daripada keganasan.

Di Aramoun dan Saadiyat di selatan Beirut, dua bandar di luar kubu kuat tradisional kumpulan Hezbollah yang disokong Iran itu,  kementerian kesihatan berkata, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan lapan yang lain dengan angka korban dijangka meningkat.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Ghebreyesus berkata, antara mereka yang terbunuh di Lubnan termasuk tiga paramedik, manakala enam lagi cedera ketika cuba membantu mangsa letupan.

Sementara itu, siren serangan udara berbunyi di beberapa kawasan utara Israel sepanjang sempadan.

“Beberapa peluru berpandu yang melintasi dari Lubnan telah dipintas,” menurut kenyataan tentera Israel, tanpa melaporkan sebarang kemalangan.

Amaran turut diaktifkan lebih awal di bandar sempadan Metula, di mana Hezbollah berkata, pejuangnya menyasarkan tentera dengan bedilan peluru berpandu.

Hezbollah juga berkata, ia menyasarkan pangkalan tentera laut Haifa di utara Israel pada Selasa sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.

Awal Rabu, tentera Israel didakwa menggesa orang ramai meninggalkan 16 bandar dan kampung di selatan Lubnan, dalam amaran segera sebelum menggunakan kekuatan terhadap Hezbollah.

Israel melancarkan beberapa serangan udara berturut-turut di selatan negara itu serta beberapa pinggir ibu kota Beirut, di mana Hezbollah mempunyai pengaruh kuat.

Namun menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), sebahagian serangan pada Rabu mengenai kawasan di luar kubu kuat tradisional Hezbollah.

NNA berkata, serangan udara Israel menyasarkan sebuah hotel di Hazmieh yang merupakan serangan pertama dilaporkan di kawasan majoriti Kristian di pinggir Beirut.

“Ambulans dihantar ke lokasi kejadian,” menurut laporan itu.

Serangan Israel sejak Isnin telah membunuh sekurang-kurangnya 50 orang di Lubnan, menurut kementerian kesihatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN