DUBAI: Serangan dron Iran menyebabkan kebakaran berhampiran konsulat Amerika Syarikat (AS) di Dubai lewat Selasa ketika Teheran meningkatkan sasaran terhadap misi diplomatik Washington di negara Teluk.
Penduduk memberitahu mereka terdengar dentuman dan seorang penduduk berkata, dia kemudian melihat kebakaran itu. Polis menutup jalan berhampiran dan menghalau orang ramai yang cuba melihat kerosakan.
“Pihak berkuasa Dubai mengesahkan kebakaran yang berpunca daripada insiden berkaitan dron berhampiran Konsulat AS telah berjaya dikawal,” menurut hantaran Pejabat Media Dubai di laman X.
Kedutaan AS di Riyadh turut diserang dua dron, menyebabkan kebakaran kecil pada awal Selasa.
Kedutaan AS di Kuwait pula diserang pada Isnin, menurut sumber diplomatik kepada AFP selepas asap dilihat dari bangunan itu.
Negara Teluk yang kaya itu menjadi sasaran serangan Iran sejak Sabtu, sebagai sebahagian daripada perang Asia Barat yang semakin meluas, dengan lapangan terbang dan kemudahan minyak antara yang menjadi sasaran serangan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengesahkan serangan dron di Dubai dan berkata, semua kakitangan selamat.
“Dron malangnya mengenai kawasan tempat letak kereta bersebelahan bangunan konsulat dan kemudian mencetuskan kebakaran di tempat itu. Semua kakitangan telah dipastikan selamat,” katanya kepada wartawan di Washington.
Bunyi pesawat jet yang kuat kedengaran pada Selasa di Dubai, hab komersial Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menjadi lokasi bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa.
Walaupun mengalami lebih 1,000 serangan, angka tertinggi daripada jumlah gabungan negara lain yang disasarkan, UAE berkata, tiada rancangan untuk menyerang balas Iran.
“UAE menegaskan tidak membuat sebarang keputusan untuk mengubah kedudukan pertahanannya sebagai tindak balas terhadap serangan berulang Iran.
“UAE menegaskan kami bukan pihak dalam perang ini dan tidak membenarkan penggunaan wilayah, perairan wilayah atau ruang udara untuk sebarang serangan ke atas Iran ,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.-AFP










