WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) mengesahkan perlantikan Markwayne Mullin sebagai ketua baharu Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), agensi yang sedang bergelut akibat penutupan separa kerajaan ketika ia berusaha melaksanakan tindakan keras imigresen Presiden, Donald Trump.
Para senator mengundi 54-45 menyokong Mullin, 48 tahun, seorang Republikan, bekas ahli gusti dan pejuang seni bela diri yang sebelum ini berkhidmat sebagai Senator bagi Oklahoma.
Mullin menggantikan Kristi Noem sebagai ketua DHS, selepas beliau dipecat awal bulan ini sebahagiannya kerana pengendalian operasi berskala besar terhadap pendatang tanpa dokumen di Minnesota, di mana ejen imigresen persekutuan menembak mati dua penunjuk perasaan yang merupakan warganegara AS.
Dalam sesi pengesahan di hadapan Senat minggu lalu, Mullin berkata, salah satu matlamatnya adalah untuk menjauhkan DHS dan agensi kontroversinya, Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) daripada tumpuan umum.
“Matlamat saya dalam tempoh enam bulan adalah supaya kami bukan lagi menjadi tajuk utama setiap hari.
“Saya mahu melindungi tanah air. Saya mahu membawa ketenangan. Saya mahu mengembalikan keyakinan terhadap agensi ini,” katanya.
Senator Demokrat, Dick Durbin dari Illinois menyuarakan keraguan terhadap janji tersebut.
“Walaupun masalah di DHS lebih besar daripada mana-mana individu, saya tetap bimbang Senator Mullin tidak akan mengekang penyalahgunaan oleh ICE.
“Saya mengundi menolak, kerana saya tidak akan menyokong pelantikan seorang lagi ‘pak turut’ yang membenarkan naluri terburuk Trump,” katanya.
Mullin juga memberi isyarat keterbukaan untuk mewajibkan waran kehakiman bagi operasi penguatkuasaan imigresen, satu potensi perubahan daripada dasar semasa dan tuntutan utama Demokrat dalam rundingan pembiayaan yang sedang berlangsung.
Pembiayaan DHS terhenti sejak 14 Februari, ketika ahli politik Demokrat berusaha melaksanakan pembaharuan terhadap penguatkuasaan imigresen.
Penutupan DHS selama sebulan itu turut menjejaskan perkhidmatan lain di bawah jabatan tersebut, termasuk Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), agensi yang bertanggungjawab terhadap pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.
Kakitangan TSA di seluruh negara bekerja selama beberapa minggu tanpa gaji, dengan lebih 300 orang berhenti sejak penutupan bermula, menyebabkan kelewatan perjalanan yang lebih panjang ketika lapangan terbang bergelut untuk menyaring penumpang.
Trump pada Ahad mengumumkan ejen ICE akan ditempatkan di lapangan terbang yang terjejas akibat kelewatan perjalanan.
Walaupun ICE adalah sebahagian daripada DHS, agensi itu masih dapat meneruskan operasi menggunakan dana yang diluluskan oleh Kongres tahun lalu.-AFP











