TEHERAN: Iran mendakwa mempunyai lebih satu juta pejuang bersedia menghadapi kemungkinan pencerobohan darat oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu.
Media negara itu mendakwa lebih satu juta anggota tentera telah digerakkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pencerobohan darat oleh AS yang mahu membuka semula Selat Hormuz.
Peningkatan kekuatan ini berlaku di tengah-tengah ancaman yang semakin meningkat daripada Presiden AS, Donald Trump untuk mengambil alih Pulau Kharg , sebuah hab minyak utama yang membantu mengawal laluan perairan penting tersebut.
Iran telah mula memperkukuh pulau tersebut dengan memasang perangkap seperti periuk api di kawasan yang dijangka menjadi lokasi pendaratan.
Pegawai Amerika memberi amaran bahawa sebarang operasi darat akan membawa risiko besar, termasuk kemungkinan jumlah korban yang tinggi dalam kalangan tentera AS.
Pihak Pentagon telah mengarahkan kira-kira 2,000 anggota payung terjun dari Divisyen Operasi Udara ke-82 ke Asia Barat untuk menyertai sekitar 4,500 anggota marin yang sudah dalam perjalanan ke rantau itu.
Ia berlaku ketika usaha damai oleh Trump menunjukkan tanda-tanda kegagalan.
Pada 28 Februari lalu, Iran diserang oleh jet-jet AS-Israel selepas rundingan nuklear antara wakil Teheran dengan Washington diadakan di Switzerland. – AGENSI











