SYDNEY: Seorang remaja Australia disahkan sebagai individu pertama di negara itu yang meninggal dunia akibat reaksi alahan teruk terhadap daging dipercayai berpunca daripada gigitan kutu.
Jeremy Webb, 16, dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai perkhemahan bersama rakannya pada 2022 selepas mengalami reaksi alahan serius.
Pada awalnya, kematian Webb diklasifikasikan sebagai serangan asma akut.
Namun, hasil penilaian semula perubatan dalam inkues yang diusahakan ibu bapanya mendapati remaja itu sebenarnya menghidap alahan terhadap daging mamalia yang dicetuskan oleh sejarah gigitan kutu.
Ini menjadikan Webb sebagai individu kedua di dunia yang maut akibat alahan daging disebabkan oleh kutu, dikenali sebagai sindrom alpha-gal.
Kematian pertama yang disahkan akibat keadaan itu membabitkan seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) pada 2024.
Di AS, ia berpunca daripada gigitan kutu bintang tunggal Amblyomma americanum, manakala di Australia kutu lumpuh lxodes holocyclus.
Air liur kutu berkenaan mengandungi molekul gula dikenali sebagai alpha-gal, yang lazimnya tidak terdapat dalam tubuh manusia.
Apabila kutu menggigit, ia menyuntik molekul alpha-gal ke dalam aliran darah mangsa, sekali gus menyebabkan tubuh menghasilkan antibodi IgE.
Alpha-gal ditemukan dalam kebanyakan mamalia seperti lembu, babi, kambing biri-biri dan kanggaru. Apabila individu yang mempunyai antibodi berkenaan mengambil makanan mengandungi alpha-gal, termasuk daging, mereka boleh mengalami reaksi alahan akut.
Dalam kes Webb, Timbalan Koroner Negeri New South Wales mendapati mangsa mempunyai sejarah gigitan kutu sejak kecil dan memakan sosej daging lembu ketika menyertai perkhemahan tersebut.- AGENSI










