MANAMA: Sekurang-kurangnya 32 orang cedera akibat serangan dron Iran di pulau Sitra, Bahrain pada awal pagi Isnin, ketika negara-negara Teluk melaporkan serangan baharu Teheran dalam siri serangan balas di rantau itu.
Kementerian Kesihatan Bahrain berkata, semua yang cedera adalah warganegara Bahrain, termasuk empat kes serius melibatkan kanak-kanak.
Antara yang cedera ialah seorang gadis berusia 17 tahun dengan kecederaan teruk di kepala dan mata serta seorang bayi berusia dua bulan.
Beberapa letupan turut didengar di ibu kota Qatar, Doha ketika Qatar, Arab Saudi dan Kuwait melaporkan serangan baharu.
Dalam serangan terbaharu, kompleks minyak Al Ma’ameer di Bahrain turut terbakar akibat serangan dron Iran, menyebabkan kerosakan harta benda tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Sejak Iran memulakan operasi balas besar-besaran selepas serangan udara AS dan Israel ke atas republik Islam itu, Doha telah menjadi sasaran gelombang dron dan peluru berpandu Iran.
Kementerian Pertahanan Qatar berkata, pasukannya berjaya memintas serangan peluru berpandu pada Isnin.
Di Arab Saudi, kementerian pertahanan melaporkan dua dron yang menuju ke fasiliti minyak Shaybah di tenggara negara dipintas dan dimusnahkan.
Kuwait pula berkata, sistem pertahanan udara negara itu sedang beroperasi bagi memintas serangan peluru berpandu dan dron pada Isnin.
Pada Ahad, negara Teluk itu diserang tujuh peluru berpandu dan lima dron, menurut pihak berkuasa.
AS mengumumkan pada Ahad, kakitangan kedutaan diarahkan meninggalkan Arab Saudi susulan serangan Iran terhadap negara itu.
Jabatan Negara mengeluarkan amaran perjalanan dan menyatakan kakitangan kerajaan AS bukan kecemasan dan ahli keluarga mereka diarahkan meninggalkan Arab Saudi kerana risiko keselamatan.
Serangan dron minggu lalu turut menjejaskan kedutaan AS di Riyadh, Kuwait dan UAE.
Negara-negara Teluk menanggung sebahagian besar tindak balas Teheran selepas AS dan Israel melancarkan kempen udara besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian,memberi amaran republik Islam itu terpaksa bertindak balas terhadap jiran jika wilayah mereka digunakan untuk menyerang Iran.-AFP










