Prabowo nafi ‘makan angin’ dalam lawatan luar negara - Utusan Malaysia

Prabowo nafi ‘makan angin’ dalam lawatan luar negara

PRABOWO SUBIANTO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, membalas kritikan terhadap perjalanannya ke luar negara, dengan menafikan dakwaan lawatan itu hanya untuk ‘makan angin’ atau lawatan upacara.

Beliau menegaskan, lawatan itu sebahagian daripada strategi diplomasi ekonomi untuk melindungi pekerjaan dan dan memajukan kepentingan nasional Indonesia.

Dalam video yang disiarkan di saluran rasmi YouTube bertajuk ‘Prabowo Menjawab 2’ pada 22 Mac, presiden itu mendakwa, setiap lawatan ke luar negara mempunyai tujuan khusus berkaitan kehidupan jutaan pekerja Indonesia.

“Orang fikir saya suka melancong, tetapi saya melancong untuk menjaga rakyat saya juga,” katanya dipetik oleh portal berita tempatan, Detik.

Prabowo berkata, lawatan luar negaranya bertujuan membuka akses pasaran serta mengukuhkan kedudukan tawar-menawar dan kerjasama industri Indonesia, yang memberi kesan langsung terhadap pekerjaan.

Sejak memegang jawatan, beliau menjalani jadual diplomatik yang padat, menghadiri sekurang-kurangnya sembilan sidang kemuncak antarabangsa dan melakukan lebih 40 lawatan rasmi ke lebih 30 negara, merangkumi kuasa besar serta rakan strategik kecil.

Beliau mengunjungi beberapa negara lebih daripada sekali, termasuk Malaysia, yang dilawati Prabowo sekurang-kurangnya lima kali, menurut portal berita Kompas.

Jumlah itu jauh melebihi penyandang terdahulu, Joko Widodo atau Jokowi yang melakukan sebanyak 16 lawatan negara.

Bekas presiden, Susilo Bambang Yudhoyono pernah melakukan 10 lawatan luar negara dalam tahun pertama beliau dan Jokowi memegang jawatan.

Prabowo berkata, dalam banyak kes, kehadiran langsung ketua negara adalah faktor penentu rundingan ekonomi, terutama berkiatan dengan perdagangan dan pelaburan.

“Akhirnya, saya mesti berada di sana,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, rundingan sering menemukan kebuntuan di peringkat teknikal dan dalam situasi itu, keputusan strategik hanya boleh dibuat melalui komunikasi langsung antara ketua negara.

“Kadang-kadang dalam rundingan, mereka selalu perlu melaporkan kepada pemimpin tertinggi. Ada perkara yang mesti dibincangkan secara terus antara ketua negara,” katanya. .- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN