Perang Asia Barat 'goncang' pasaran global

Perang Asia Barat terus goncang pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pasukan Israel dan Amerika Syarikat (AS) menyerang sasaran di seluruh Iran, mencetuskan serangan balas di sekitar Teluk ketika konflik merebak ke Lubnan, menggoncang pasaran global serta menyebabkan harga minyak meningkat mendadak.

Empat hari selepas perang bermula, Presiden AS, Donald Trump memberitahu pemberita, pasukannya menyerang pelbagai sasaran tentera laut dan udara Iran, sambil mendakwa hampir semua sasaran dimusnahkan.

Tentera Israel pada awal Rabu berkata, mereka memulakan gelombang serangan yang menyasarkan tapak pelancaran, sistem pertahanan udara dan infrastruktur Iran.

Di Israel, siren serangan udara berbunyi awal semalam sebagai amaran peluru berpandu Iran, dan letupan kuat ketika peluru berpandu itu dipintas menggegarkan bangunan, kata saksi.

OPERASI DIJANGKA BERLANJUTAN

Laksamana AS, Brad Cooper, yang mengetuai pasukan AS di Asia Barat sebagai ketua Komando Pusat, berkata, 24 jam pertama pengeboman ‘Operasi Epic Fury’ ke atas Iran adalah hampir dua kali ganda skala berbanding 24 jam pertama kempen ‘Kejutan dan Kekaguman’ yang memulakan Perang Iraq pada 2003.

Trump juga cuba mewajarkan serangan ke atas Iran, dengan mengarahkan kempen tersebut kerana mendakwa beliau mempunyai ‘firasat’ Iran akan menyerang selepas rundingan mengenai program nuklearnya terhenti.

Sebagai tindak balas terhadap serangan sengit itu, dron Iran menyerang kedutaan AS di Arab Saudi selepas sebelum ini menyerang misi AS di Kuwait.

Washington menutup kedua-dua kedutaan tersebut, serta kedutaan di Lubnan, dan mengarahkan kakitangan kerajaan bukan kecemasan serta keluarga mereka meninggalkan sebahagian besar Asia Barat.

Asap kelihatan berhampiran konsulat AS di Dubai pada Selasa, dan Setiausaha Negara, Marco Rubio, memberitahu pemberita kawasan parkir terkena serangan dan semua kakitangan selamat.

Sumber yang mengetahui pelan perang Israel memberitahu Reuters, operasi itu dirancang untuk berlangsung selama dua minggu dan sedang melalui senarai sasaran lebih cepat daripada jangkaan, dengan kejayaan awal membunuh pemimpin Iran, termasuk Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan pada Sabtu lalu.

Trump pada Isnin berkata, unjuran awal AS ialah operasi itu akan berlangsung selama empat hingga lima minggu.

Apabila ditanya siapa yang beliau mahu memimpin Iran, Trump kelmarin memberi penilaian terbuka menegaskan kebanyakan pemimpin yang difikirkannya sudah mati.

Teheran berulang kali digegarkan oleh letupan sepanjang hari, ketika Israel menyerang penyiar negeri IRIB dan kawasan sekitar lapangan terbang Mehrabad di bandar itu.

Tentera Israel juga berkata, mereka menyerang tapak pembangunan nuklear bawah tanah Minzadehei di Teheran. 

Bangunan yang menempatkan Perhimpunan Pakar Iran, yang bertanggungjawab memilih pengganti Khamenei, turut musnah dalam serangan udara di bandar Qom, kata agensi berita Iran.

Tidak jelas jika ada yang maut dalam serangan itu, tetapi Trump berkata, pemimpin kanan Iran terkorban pada Selasa.

Memandangkan rakyat Iran melarikan diri dari bandar itu, ibu negara kini menjadi bandar hantu.

PASARAN SAHAM MEROSOT

Pasaran saham global merosot apabila gangguan bekalan tenaga di Asia Barat mengancam untuk mencetuskan semula inflasi.

Harga minyak mentah meningkat lima peratus dan harga borong gas asli di Eropah melonjak sehingga 40 peratus. 

Harga purata petrol runcit di AS ialah AS$3.11 (RM12.27) setiap gelen, menurut Persatuan Automobil Amerika, petunjuk jelas kenaikan harga pengguna yang menjadi kebimbangan utama pengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal November.

Indeks saham Wall Street menurun dalam dagangan tengah hari, selepas indeks di Eropah dan Asia jatuh lebih tiga peratus.

Iran menamakan perang ini sebagai serangan tanpa provokasi.

“Kami memberitahu musuh jika kamu cuba mencederakan pusat utama kami, kami akan menyerang semua pusat ekonomi di rantau ini,” kata penasihat Pengawal Revolusi, Ebrahim Jabari, menurut media Iran.

Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke negara jiran Arab yang menempatkan pangkalan AS, dan menghalang pengangkutan melalui Selat Hormuz, laluan di mana satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melintasi pantainya.

Qatar, antara pengeksport utama LNG dunia, menghentikan pengeluaran, manakala kapal tangki memilih berlabuh di Teluk daripada menempuh selat berkenaan.

Kos menyewa kapal tangki untuk menghantar minyak dari Asia Barat ke Asia meningkat hampir empat kali ganda sejak minggu lalu kepada paras tertinggi sepanjang masa melebihi AS$400,000 (RM1.5 juta) sehari.

Trump berkata, kerajaan AS akan menyediakan insurans kepada kapal tangki di rantau ini dan Tentera Laut akan mengiringi mereka melalui selat jika perlu.

Pengangkutan udara global juga huru-hara, dengan hab udara di Asia Barat yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika ditutup.

Di Lubnan, sekutu Iran, Hezbollah, melepaskan tembakan ke arah Israel, yang membalas dengan serangan udara dan memperkukuh kedudukan darat di selatan.

Iran berkata, jumlah kematian akibat serangan itu sudah melebihi 1,000 orang, termasuk 165 kanak-kanak perempuan yang terbunuh pada hari pertama perang apabila sekolah mereka dibom, jumlah tertinggi antara beberapa sasaran awam yang dilaporkan terkena serangan.

Media kerajaan menyiarkan ratusan orang memenuhi jalan-jalan di bandar selatan Minab, di mana keranda kecil kanak-kanak perempuan, diselimuti bendera Iran, dipindahkan dari lori dan dibawa oleh orang ramai merentasi lautan tangan yang diangkat menuju tapak pengebumian.

Pejabat hak asasi manusia PBB menuntut siasatan terhadap serangan itu, yang menurut jurucakapnya adalah ‘amat mengerikan’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN