HOUSTON: Pemimpin industri tenaga akan berkumpul di Texas minggu ini bagi persidangan tahunan yang dijangka bakal didominasi oleh isu gangguan bekalan minyak dan gas kesan daripada perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Lebih 10,000 peserta dijangka menghadiri CERAWeek, perhimpunan musim bunga di Houston yang kini menjadi tumpuan utama susulan lonjakan harga bahan api sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada akhir Februari lalu.
“Ia bakal menjadi edisi CERAWeek yang akan diingat sepanjang zaman,” kata Naib Presiden Kanan Tenaga di Environmental Defense Fund, Mark Brownstein.
Serangan ke atas kemudahan tenaga kritikal di Iran, Qatar, dan negara Teluk yang lain telah memburukkan lagi gambaran bekalan minyak dan gas global, yang sedia terjejas akibat penutupan de facto Selat Hormuz.
“Kita sedang berhadapan dengan gangguan minyak dunia yang terbesar dalam sejarah. Belum pernah ada kejadian pada skala sebegini sebelum ini,” ujar Naib Pengerusi S&P Global merangkap pengerusi persidangan tersebut, Daniel Yergin.
Bermula Isnin, persidangan itu akan menghimpunkan pakar daripada sektor industri, kewangan, kerajaan dan akademik untuk membincangkan topik berkaitan tenaga, perdagangan antarabangsa, kecerdasan buatan (AI), pencarian mineral kritikal, serta prospek kapasiti nuklear baharu.
Sesi pagi Isnin yang melibatkan Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright dijangka menarik perhatian ramai memandangkan beliau merupakan watak penting dalam pentadbiran Presiden, Donald Trump untuk menangani lonjakan harga petrol baru-baru ini.
Antara tokoh korporat besar yang bakal hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Chevron, Mike Wirth; Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne; Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Wael Sawan; Presiden Saudi Aramco, Amin Nasser; dan Peneraju Cheniere Energy, Jack Fusco.
Selain konflik Asia Barat, perhatian tahun ini turut terarah kepada orientasi semula dasar tenaga dan alam sekitar AS di bawah kepimpinan Trump.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, beliau secara agresif menyokong penggunaan bahan api fosil, termasuk arang batu, sambil memansuhkan sebahagian besar dasar bekas Presiden, Joe Biden yang bertujuan menangani perubahan iklim.
Tindakan Trump yang menyerang dasar galakan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui telah mencetuskan kemarahan aktivis alam sekitar.
Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Texas Campaign for the Environment dilaporkan merancang untuk mengadakan perhimpunan protes pada hari pertama CERAWeek.
Persidangan tahun ini juga akan menampilkan acara pleno bersama pemimpin pembangkang Venezuela merangkap pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Maria Corina Machado, yang dijadualkan berucap pada malam Selasa mengenai ‘Masa Depan Venezuela’. -AFP











