KATHMANDU: Bintang rap, Balendra Shah telah menewaskan bekas Perdana Menteri Nepal, Sharma KP Oli di kawasan parlimennya, menyebabkan beliau melangkah setapak lagi untuk bergelar Perdana Menteri Nepal yang baharu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Nepal mengesahkan pada Sabtu bahawa Shah, 35, memperoleh 68,348 undi. Oli yang sekadar mendapat 18,734 undi menyebabkan Shah menyingkirkan pemimpin veteran tersebut daripada kerusinya.
Pilihan raya umum yang berlangsung pada Khamis lepas merupakan yang pertama sejak protes besar-besaran diketuai golongan muda menumbangkan kerajaan pada September lalu.
Persaingan itu menyaksikan pertembungan antara golongan elit politik sedia ada dengan generasi baharu ahli politik bagi memperjuangkan suara pengundi Generasi Z (Gen Z) yang mahukan perubahan drastik.
Parti RSP pimpinan Shah kini dilihat berada di landasan tepat untuk memenangi pilihan raya umum tersebut.
Selama lebih dua dekad, politik Nepal didominasi oleh sistem kerajaan gabungan yang dikuasai oleh tiga parti utama, di mana dua daripadanya adalah parti komunis.
Pilihan raya kali ini menjadi medan ujian sama ada pengundi Gen Z berjaya meyakinkan seluruh negara bahawa sudah tiba masanya untuk generasi baharu mencorakkan masa depan atau membiarkan pemimpin veteran terus memegang kuasa.
Golongan muda negara itu merangkumi 800,000 pengundi kali pertama, menjadikan mereka blok pengundi yang sangat kritikal.
Shah, yang lebih popular dengan panggilan Balen, merupakan figura penting dalam persada hip-hop Nepal selama beberapa tahun. Salah satu lagunya, Balidan (Pengorbanan), telah meraih jutaan tontonan di YouTube.
Kebangkitan politiknya bermula selepas rusuhan Gen Z meletus pada September 2025, yang dicetuskan oleh tindakan Oli mengharamkan platform media sosial.
Demonstrasi itu kemudian memuncak dengan kritikan terhadap sistem politik Nepal dan simbol ketidaksamaan kelas yang digelar ‘nepo babies’, merujuk kepada anak-anak ahli politik negara tersebut. – BBC










