Pentadbiran Trump 'panik' dengan kenaikan mendadak harga minyak

Pentadbiran Trump ‘panik’ dengan kenaikan mendadak harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan semakin ‘panik’ dengan kenaikan mendadak harga minyak global.

Sumber dalaman memberitahu CNN, walaupun pegawai kanan Trump menjangkakan lonjakan harga minyak yang sementara pada hari-hari awal perang dengan Iran, skala dan reaksi pasaran mengejutkan mereka.

Harga minyak kini menghampiri AS$100 (RM392.74) setong selepas lebih seminggu perang, manakala harga petrol di AS meningkat dengan ketara, mendorong pentadbiran itu mengambil langkah tergesa-gesa untuk menenangkan pelabur dan mencari cara mengurangkan impak.

Bagaimanapun, pentadbiran menghadapi batas kuasa mereka sendiri dan realiti bahawa keputusan Trump untuk melancarkan perang di luar negara boleh memusnahkan beberapa pencapaian ekonomi pentingnya di dalam negara.

“Sulit untuk melihat selain daripada tekanan kenaikan harga yang berterusan. Orang ramai akan terkesan ketika mengisi minyak,” kata bekas ketua bahagian industri dan pasaran minyak di Agensi Tenaga Antarabangsa, Neil Atkinson.

Pegawai-pegawai menghabiskan hujung minggu dan Isnin untuk merangka pelbagai pilihan bagi menenangkan pasaran kewangan serta menghadkan kesan lonjakan harga minyak terhadap harga petrol domestik.

Lapor CNN, pilihan itu termasuk tindakan kawal selia yang lebih sederhana, seperti melonggarkan sekatan aliran minyak domestik, sehingga langkah lebih ekstrem seperti campur tangan terus dalam perdagangan minyak global.

Kapal-kapal tangki masih menghadapi halangan di Selat Hormuz, mengganggu kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia tanpa tanda bila laluan itu boleh digunakan dengan selamat semula.

Harga minyak pada awal Isnin hampir mencecah AS$120 (RM471) setong sebelum menurun sedikit, paras yang tidak dilihat sejak peringkat awal perang Russia menentang Ukraine pada 2022.

Lonjakan itu dengan pantas mempengaruhi harga petrol di AS, menyebabkan purata harga nasional meningkat 51 sen (RM2) setiap gelen dalam minggu lalu.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam pentadbiran Trump, di mana pegawai awalnya merancang untuk menjadikan harga petrol lebih rendah sebagai tonggak utama usaha Republikan mengekalkan majoriti mereka dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini.

Menurut sumber, tahap kecemasan turut meningkat dengan ketara sepanjang hujung minggu dan langkah awal pentadbiran Trump sebahagian besarnya gagal meredakan kebimbangan tentang krisis tenaga yang berpanjangan.

Setiausaha Tenaga, Chris Wright; Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dan Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum mengetuai usaha merangka pilihan baharu, bersama kakitangan Majlis Dominasi Tenaga Nasional Rumah Putih.

Wright dan pegawai lain cuba meredakan kebimbangan dalam penampilan awam, menyalahkan pedagang minyak kerana menaikkan harga secara tidak rasional dan menegaskan laluan melalui Selat Hormuz akan kembali normal tidak lama lagi.

Trump sendiri menafikan kesan perang terhadap harga petrol, menulis di Truth Social kononnya ia hanya kenaikan harga kecil untuk dibayar, mendakwa hanya orang bodoh berfkiran sebaliknya.

Jurucakap Rumah Putih, Taylor Rogers berkata, lonjakan itu adalah perubahan harga minyak jangka pendek yang akan menurun dengan ketara apabila objektif Operasi Epic Fury tercapai.

Namun, media melaporkan di sebalik tabir, pegawai berusaha keras mencari solusi mengurangkan krisis yang dikhuatiri menjejaskan Trump di mata pengundi yang sudah bimbang dengan kos sara hidup dan kesan lebih luas kepada ekonomi AS.

Mereka juga menekan wakil industri minyak untuk mencari kaedah mempercepatkan pengeluaran, walaupun syarikat-syarikat kurang berminat untuk meningkatkan pengeluaran secara ketara tanpa kepastian berapa lama harga tinggi itu akan kekal.

Pilihan lain yang dipertimbangkan termasuk melonggarkan sekatan Akta Jones untuk meningkatkan aliran minyak domestik, pelonggaran peraturan lain, sekatan eksport AS baharu, kawalan harga, atau campur tangan langsung Jabatan Perbendaharaan dalam pasaran niaga hadapan minyak.

Pegawai Trump juga kini membincangkan kemungkinan menggunakan rizab petroleum strategik AS (SPR), walaupun sebelumnya menolak langkah itu. SPR pernah digunakan pentadbiran Biden pada 2022 untuk menstabilkan harga, tetapi dengan kejayaan terhad.

Jelas sumber, tawaran insurans sehingga AS$20 billion (RM78.52 billion) untuk kapal tangki yang sanggup melintasi laluan perairan itu juga sehinga kini gagal mencapai sebarang hasil.

“Walaupun kapal anda diinsuranskan terhadap risiko tenggelam, anda tetap tidak mahu kapal anda tenggelam. Ini bukan idea buruk, tetapi ia tidak membolehkan sesiapa pon mengabaikan hakikat bahawa Selat Hormuz tidak dilalui sebarang kapal selama enam hari,” kata Ketua Dasar dan Politik AS di firma penyelidikan kewangan Wolfe Research, Tobin Marcus.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pegawai Trump juga dilaporkan turut mencadangkan kemungkinan pengiring tentera melalui Selat tersebut.

Namun, masih belum jelas sejauh mana AS dapat mengatur pengiring ini dengan cepat sebaliknya pakar berpendapat cara pasti untuk menstabilkan pasaran minyak ialah menamatkan perang dan melakukannya dengan cukup pantas bagi mengelakkan kesan ekonomi berpanjangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN