MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menegaskan pengeluaran minyak yang bergantung kepada Laluan Selat Hormuz bakal terhenti sepenuhnya dalam tempoh sebulan.
Beliau turut memberi amaran mengenai risiko besar ditimbulkan oleh konflik Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang menggoncang pasaran tenaga global.
“Kira-kira satu pertiga eksport minyak global melalui laut merentasi Selat Hormuz pada tahun lalu. Jumlah itu bersamaan kira-kira 14 juta tong sehari dan 80 peratus daripadanya dihantar ke negara Asia dan Pasifik.
“Kini laluan itu secara de facto telah ditutup. Pengeluaran minyak yang bergantung kepada selat itu berisiko terhenti sepenuhnya dalam tempoh sebulan akan datang.
“Ia sudah pun menunjukkan penurunan. Usaha memulihkan pengeluaran mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bahkan berbulan-bulan,” kata Putin ketika mesyuarat kerajaan mengenai pasaran tenaga global semalam.
Laporan menyebut trafik melalui selat berkenaan merosot sekitar 80 peratus sepanjang minggu lalu selepas AS dan Israel melancarkan kempen pengeboman terhadap Iran, sekali gus mencetuskan serangan balas dari Teheran.
Beberapa kapal tangki minyak turut dilaporkan terkena serangan dalam konflik itu.
Perkembangan tersebut melonjakkan harga minyak mentah melebihi AS$100 (RM393.34) setong serta mencetuskan jangkaan langkah kecemasan tenaga oleh Kesatuan Eropah (EU) dan ekonomi utama lain.
Putin berkata, harga minyak global sudah mula meningkat, dengan kenaikan melebihi 30 peratus hanya dalam tempoh seminggu lalu.
Katanya, gangguan bekalan tenaga juga meningkatkan inflasi serta menyebabkan kemerosotan pengeluaran industri.
Dunia kini berdepan kemungkinan memasuki ‘realiti harga baharu’, amaran yang disifatkan Putin sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, Russia kekal sebagai pembekal tenaga boleh dipercayai dan akan terus menyediakan minyak serta gas kepada negara yang dianggapnya sebagai rakan yang boleh dipercayai.
Putin berkata, senarai itu termasuk negara Asia serta anggota EU iaitu Slovakia dan Hungary.
Pada Isnin, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban bersama Menteri Luar negara itu, Peter Szijjarto, menggesa Brussels menarik balik larangan terhadap minyak dan gas Russia susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Sebelum ini, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, turut mengumumkan pelonggaran sekatan terhadap sebahagian minyak Russia bagi menstabilkan pasaran.-AGENSI










