Pengarah perangi keganasan AS letak jawatan disiasat FBI kerana bocor maklumat Iran - Utusan Malaysia

Pengarah perangi keganasan AS letak jawatan disiasat FBI kerana bocor maklumat Iran

KENT (kanan) kini disiasat oleh FBI kerana didakwa membocorkan maklumat sulit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas pegawai perisikan kanan Amerika Syarikat (AS) yang meletakkan jawatan sebagai protes terhadap perang di Iran kini disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kerana didakwa telah membocorkan maklumat sulit, menurut sumber yang mengetahui perkara itu. 

Pegawai itu ialah Joe Kent, yang sebelum ini merupakan Pengarah Pusat Memerangi Keganasan AS. 

Beliau meletakkan jawatan selepas secara terbuka menentang tindakan ketenteraan AS terhadap Iran dengan menyatakan bahawa Teheran tidak mewakili ancaman segera kepada keselamatan negara. 

Siasatan terhadap dakwaan kebocoran maklumat sulit itu dilaporkan bermula sebelum beliau meletak jawatan dan FBI enggan mengulas lanjut apabila dihubungi media.

Sumber memberitahu NBC News bahawa siasatan itu bermula sebelum Kent, sekutu lama Presiden AS, Donald Trump mengumumkan peletakan jawatannya pada Selasa sebagai pengarah pusat tersebut.

Laman berita Semafor adalah yang pertama melaporkan mengenai siasatan ini.

Kent, yang melapor kepada Pengarah Perisikan Kebangsaan, Tulsi Gabbard, menyatakan pada Selasa bahawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan untuk menyerang Iran dan bahawa rejim tersebut tidak mewakili ancaman segera seperti yang didakwa pentadbiran Trump.

Setakat ini, FBI menolak untuk mengulas, manakala Pejabat Rumah Putih dan Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan tidak memberikan respons segera terhadap permintaan komen pada malam Rabu.

Dalam temu bual pertamanya sejak meletak jawatan, Kent memberitahu personaliti media, Tucker Carlson pada Rabu bahawa beliau menjangkakan terdapat percubaan untuk menjatuhkan kredibilitinya kerana protesnya. 

Namun, Kent berkata, beliau akan menyambut baik peluang untuk bercakap dengan Trump.

“Saya faham, cara saya meninggalkan jawatan ini dan menulis surat itu. Ada sebahagian pihak dalam pentadbiran ini yang akan cuba menentang saya dan meragui kredibiliti saya,” kata Kent. 

“Saya faham perkara itu, tetapi saya fikir presiden adalah seseorang yang mendengar.

“Saya rasa beliau sedang mendengar, bukan hanya kepada saya dan anda, tetapi saya rasa beliau mendengar banyak pihak berbeza. (Ini) kerana saya rasa beliau sedar. Pada tahap asas, perkara ini tidak berjalan dengan baik dan beliau perlu mencari cara untuk kita keluar daripada situasi ini.”

Kent menjalani 11 penugasan tempur sepanjang kerjayanya selama 20 tahun dalam Pasukan Khas Tentera Darat sebelum bekerja di Agensi Perisikan Pusat (CIA). 

Isterinya, Shannon Kent, terbunuh dalam satu serangan pengganas di Syria pada 2019, di mana beliau bertugas sebagai pemecah kod musuh dan menyulitkan mesej untuk Tentera Laut AS.

Dalam surat peletakan jawatannya, Kent menyatakan bahawa walaupun beliau menyokong nilai-nilai Trump semasa penggal pertamanya, presiden telah terpengaruh secara salah oleh Israel. 

Katanya, beliau tidak dapat menyokong supaya generasi seterusnya dihantar untuk berjuang dan mati dalam perang yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN