ANKARA – Sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran dan menuju ke ruang udara Turkiye melalui Iraq dan Syria telah dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kementerian Pertahanan Turkiye berkata pada Rabu bahawa peluru berpandu itu telah dilibatkan dan dimusnahkan oleh aset pertahanan udara serta peluru berpandu NATO yang ditempatkan di Mediterranean timur.
Ia tidak menyatakan sasaran sebenar peluru berpandu tersebut. Iran telah menyerang beberapa lokasi di seluruh rantau itu sebagai tindak balas selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadapnya pada Sabtu lalu.
Seorang pegawai Turkiye, yang bercakap kepada AFP dengan syarat tidak dinamakan berkata, peluru berpandu itu disasarkan ke sebuah pangkalan di Cyprus Yunani tetapi tersasar daripada laluannya.
Pegawai berkata, serpihan yang jatuh di daerah Dortyol di selatan Turkiye, berhampiran sempadan Syria, dikenal pasti sebagai bahagian pemintas yang digunakan untuk menghapuskan ancaman di ruang udara tersebut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, sebagai reaksi terhadap insiden itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam panggilan telefon dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata bahawa serangan terhadap wilayah kedaulatan negara tersebut adalah tidak boleh diterima dan berikrar memberikan sokongan penuh daripada Amerika.
Insiden itu turut menerima kecaman daripada NATO.
Dalam ucapan pada waktu malam, Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, negaranya sedang mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu dengan berunding bersama sekutu NATOnya dan mengeluarkan amaran dengan sejelas-jelasnya bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
Turkiye, anggota NATO yang majoritinya beragama Islam Sunni, berkongsi sempadan sepanjang 500 kilometer dengan Iran.
Erdogan menyifatkan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran yang mencetuskan konflik itu sebagai tidak sah, manakala Fidan turut mengkritik serangan balas Teheran terhadap negara-negara Teluk dan kawasan lain sebagai strategi yang salah. – AFP










