PBB gesa Iran henti serangan ke atas negara Teluk - Utusan Malaysia

PBB gesa Iran henti serangan ke atas negara Teluk

AMIR Saeid Iravani (depan) berucap di Majlis Keselamatan PBB semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menggesa Iran menghentikan serangannya ke atas negara-negara Teluk dalam satu resolusi.

Namun, resolusi itu tidak menyebut serangan Amerika Syarikat (AS) atau Israel terhadap Iran, menyebabkan duta Teheran mengecamnya sebagai penyalahgunaan terang-terangan badan antarabangsa itu.

Resolusi tersebut yang diluluskan dengan 13 undi menyokong dan dua berkecuali dengan menuntut pemberhentian serta-merta semua serangan oleh Republik Islam Iran terhadap Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Jordan.

Resolusi itu juga mengutuk sebarang tindakan atau ancaman oleh Republik Islam Iran yang bertujuan menutup, menghalang atau mengganggu pelayaran antarabangsa melalui Selat Hormuz.

Iran telah berulang kali menyerang negara-negara Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika–Israel yang membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, selain terus membedil sasaran di Iran.

Republik Islam itu juga telah menembak kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz, laluan laut penting bagi perdagangan bahan api global dalam usaha memberi tekanan kepada ekonomi dunia.

Duta Bahrain ke PBB, Jamal Fares Alrowaiei yang memperkenalkan resolusi itu dengan sokongan 135 negara berkata, ia mencerminkan peranan penting rantau Teluk dalam ekonomi global.

“Inilah sebabnya memastikan keselamatan rantau ini bukan sekadar isu serantau, tetapi merupakan tanggungjawab antarabangsa bersama yang berkait rapat dengan kestabilan ekonomi global dan keselamatan tenaga,” kata Alrowaiei kepada Majlis Keselamatan PBB.

Negara-negara pemegang kuasa veto, China dan Russia berkecuali dalam undian Majlis Keselamatan itu.

Ini kerana kedua-dua negara tidak berpuas hati resolusi tersebut tidak mengakui permusuhan Amerika–Israel terhadap Iran.

Duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani berkata, penerimaan teks resolusi itu merupakan penyalahgunaan terang-terangan mandat Majlis Keselamatan demi mengejar agenda politik AS  dan Israel. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN