Pakistan sahkan jadi penyalur mesej ‘damai’ Iran-AS - Utusan Malaysia

Pakistan sahkan jadi penyalur mesej ‘damai’ Iran-AS

SHAHBAZ SHARIF - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan pada Khamis mengesahkan peranannya secara langsung dalam menyampaikan mesej antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, kata Menteri Luar, Ishaq Dar di platform media sosial Amerika, X.

“Pada hakikatnya, rundingan tidak langsung antara  AS-Iran sedang dijalankan melalui mesej yang disalurkan oleh Pakistan,” kata Dar,.

Beliau turut mengesahkan bahawa AS telah berkongsi 15 perkara yang sedang dibincangkan oleh Iran.

Kenyataan itu dibuat ketika sumber di Islamabad memberitahu Anadolu bahawa minggu ini adalah penting bagi sebarang kemungkinan kejayaan dalam rundingan antara Washington dan Teheran.

Sumber itu juga berkata, Islamabad menjangka delegasi AS akan hadir tetapi Teheran masih berhati-hati kerana wujud ketidakpercayaan.

Kenyataan Dar merupakan pengesahan pertama secara rasmi daripada Islamabad bahawa Pakistan memainkan peranan sebagai fasilitator.

Dua pegawai kanan memberitahu AFP pada Rabu bahawa pelan AS telah disampaikan kepada Iran melalui Pakistan tetapi bercakap tanpa mendedahkan nama kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Islamabad dianggap sebagai pengantara memandangkan hubungan rapatnya yang lama dengan Teheran.

Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif mempunyai  hubungan dengan pegawai  kanan kerajaan Iran.

Ketua tentera Pakistan yang berkuasa, Fil Marsyal Asim Munir, juga terlibat dalam usaha diplomatik dan telah bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump pada Ahad lalu, menurut pegawai.

Sebelum ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menafikan sebarang rundingan dengan pentadbiran di Washington tetapi mengakui bahawa mesej sedang bertukar melalui negara mesra dengan Teheran. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN