BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah berkongsi satu lagi video di akaun rasmi X miliknya bagi menangkis khabar angin berterusan mengenai kematiannya, susulan klip-klip terdahulu seperti kemunculannya di kafe dan video tular yang menunjukkan cincinya seolah-olah hilang.
Video terbaharu itu adalah antara beberapa rakaman yang dimuat naik untuk membuktikan bahawa beliau masih hidup, selepas pelbagai teori konspirasi tersebar luas di media sosial.
Antara dakwaan yang tular termasuk video yang kononnya dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), seperti klip yang menunjukkan jari tambahan atau kesan visual pelik.
Malah, dalam salah satu video, Netanyahu secara berseloroh menunjukkan tangannya kepada kamera untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai lima jari, sambil menyindir dakwaan tersebut.
Khabar angin tentang kematiannya mula tersebar dalam talian, sebahagiannya diperkukuh oleh media dan propaganda berkaitan konflik Iran-Israel yang sedang berlangsung. Namun, tiada bukti sahih yang menyokong dakwaan bahawa beliau telah terbunuh.
Video-video ini dilihat sebagai usaha berterusan Netanyahu untuk menepis maklumat palsu dan mengekalkan keyakinan awam di tengah-tengah situasi perang yang tegang.
Bagaimanapun, video terbaharu itu mencetuskan penelitian baharu selepas chatbot AI Grok memberikan jawapan yang bercanggah. Pada mulanya ia melabelkannya sebagai dihasilkan oleh AI. Namun, kemudian menyatakan bahawa ia adalah video sebenar.
Dalam klip tersebut, Netanyahu dipaparkan bersama Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee . Sambil menyindir khabar angin itu, beliau berkata: “Ya, Mike (Huckabee). Ya, saya masih hidup.
“Kami berjabat tangan dengan lima jari,” tambahnya sebagai sindiran jelas terhadap teori konspirasi yang mejadi tular tentang enam jari perdana menteri tersebut.
Semasa interaksi itu, Huckabee menyatakan bahawa Presiden AS, Donald Trump telah memintanya untuk memeriksa keadaan Netanyahu.
Pemimpin Israel itu kemudian berseloroh: “Saya masih hidup, tetapi saya ada kad ini, tidak, jangan baca.”
Netanyahu turut mengulangi pendirian Israel dengan menyatakan bahawa negara itu menyasarkan pihak yang berusaha membangunkan senjata nuklear dan mengancam Israel serta AS. – AGENSI










