Minyak AS$200 setong bakal jadi realiti - Utusan Malaysia

Minyak AS$200 setong bakal jadi realiti

SEJUMLAH pengguna motosikal beratur untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak ketika perang di Iran di sebuah stesen minyak di Vientiane, Laos. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tidak lama selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel mula menyerang Iran pada 28 Februari, penganalisis-penganalisis memberi amaran perang ini boleh mendorong harga minyak melebihi AS$100 (RM393) setong.

Kini, kurang tiga minggu sejak perang bermula, pemerhati pasaran serius mempertimbangkan kemungkinan harga mencecah AS$150 (RMRM591) atau bahkan sehingga AS$200 (RM788) bakal menjadi kenyataan.

Pada 9 Mac harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global hampir mencecah AS$120 (RM472) dan tidak turun di bawah paras AS$100 (RM393) sejak 13 Mac.

Israel melakukan serangan ke atas medan gas South Pars di Iran pada 18 Mac lalu., Ia mencetuskan serangan balas Iran terhadap kemudahan minyak dan gas di Qatar, Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Serangan itu  terus menaikkan harga minyak kepada lebih AS$108 (RM425) setong pada Rabu.

HARGA

Penganalisis bersetuju harga masih mempunyai ruang untuk meningkat lebih tinggi jikaSelat Hormuz, laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak global kekal ditutup dalam beberapa minggu akan datang.

Persoalan utama yang menjadi kerisauan global kini adalah sejauh mana paras kenaikan itu.

“Minyak mentah penanda aras Asia Barat seperti Oman dan Dubai sudah melepasi paras AS$150 (RM590). Justeru, (harga) AS$200 (RM787) setong sudah berada dalam jangkauan, walaupun belum bagi (minyak mentah) Brent dan West Texas Intermediate.

“Sejauh mana harga minyak mentah akan terus naik hampir sepenuhnya bergantung kepada berapa lama lagi Selat Hormuz kekal ditutup,” kata Penganalisis Pasaran Minyak di Vanda Insights, Vananda Hari kepada Al Jazeera.

Selepas Iran mengumumkan selat itu ditutup dan mengancam menyerang mana-mana kapal yang cuba melaluinya, trafik hampir terhenti sepenuhnya.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump gagal mendapatkan sokongan antarabangsa untuk tentera laut membuka semula laluan itu. Namun, beberapa negara cuba berunding dengan Iran untuk laluan selamat. 

Setakat ini, kebanyakannya kapal dari India, Pakistan, Turkiye dan China dibenarkan melalui selat tersebut sejak beberapa hari lalu.

BEKALAN

Walaupun negara-negara bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak daripada simpanan kecemasan dengan kerjasama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), langkah itu tidak mencukupi untuk menampung gangguan bekalan.

Firma penyelidikan OCBC Group Research yang berpangkalan di Singapura menganggarkan pasaran global berdepan kekurangan sekitar 10 juta tong sehari walaupun mengambil kira simpanan kecemasan tersebut.

Penganalisis-penganalisis syarikat perunding Wood Mackenzie menyatakan harga minyak mentah Brent boleh mencecah AS$150 (RM591) dan AS$200 (RM788) bukan sesuatu yang mustahil pada 2026.

Iran juga memberi amaran tentang kemungkinan harga mencecah AS$200 (RM788), melalui jurucakap tentera minggu lalu, meminta dunia ‘bersedia’ menghadapi lonjakan itu.

Menurut seorang penganalisis pasaran tenaga, Chad Norville, simpanan strategik dan minyak pengganti boleh menstabilkan harga jika pasaran percaya bekalan akan menampung permintaan. 

Namun, jika aliran melalui Selat Hormuz terganggu untuk tempoh yang panjang, harga melebihi AS$100 (RM393) bahkan menghampiri AS$200 (RM788) adalah munasabah.

Beliau menambah bahawa keadaan kini berpotensi mencetuskan lonjakan lebih besar daripada Perang Teluk kerana lebih banyak bekalan global berisiko dan ketidakseimbangan bekalan serta permintaan lebih ketara.

Harga minyak AS$150 (RM590) atau lebih akan memberi tekanan besar kepada ekonomi global.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan setiap kenaikan 10 peratus harga minyak, jika berterusan selama setahun, akan meningkatkan inflasi global sebanyak 0.4 peratus dan mengurangkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 0.15 peratus.

Harga minyak mentah Brent tertinggi pernah dicatat ialah AS$147.50 (RM581) setong semasa kemuncak krisis kewangan global 2008. Dalam nilai semasa, paras tertinggi itu bersamaan kira-kira AS$224 (RM882).

Pakar Tenaga Universiti Oxford, Adi Imsirovic berkata, minyak pada harga AS$200 (RM788) setong akan menjadi tekanan besar kepada ekonomi dunia.

“Ia akan memberi kesan kepada inflasi, pertumbuhan, pekerjaan, malah boleh menyebabkan kekurangan bukan sahaja bahan bakar tetapi juga bahan seperti baja dan plastik,” katanya.

Sebaliknya, seorang pakar pasaran tenaga institusi kewangan Marex London, Sasha Foss pula melihat senario harga minyak mentah Brent AS$200 (RM788) sebagai agak tidak realistik, memandangkan peningkatan pengeluaran dari negara seperti AS, Kanada, Argentina, Brazil dan Guyana serta wujudnya laluan bekalan alternatif, seperti Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi.

Walaupun harga akan banyak bergantung kepada penyambungan semula trafik melalui Selat Hormuz, trajektorinya juga akan dipengaruhi oleh hukum penawaran dan permintaan dalam cara lain.

Pembeli barangan dan perkhidmatan lazimnya mula mengurangkan penggunaan apabila harga meningkat melebihi tahap tertentu, satu fenomena yang dikenali sebagai ‘kemusnahan permintaan’.

Walaupun permintaan terhadap minyak kurang anjal berbanding kebanyakan barangan kerana sukar diganti atau ditinggalkan, harga masih akan menjadi sederhana dan mula menurun selepas meningkat melepasi satu tahap tertentu.

“Tiada siapa yang tahu tahap itu, tetapi ia mungkin melebihi paras tertinggi nominal sebelumnya iaitu AS$147 (RM579) setong,” kata Presiden Rapidan Energy Group, Bob McNally kepada Al Jazeera.

Pakar Dasar Awam dan Ekonomi di Universiti Massachusetts Amherst, Gregor Semieniuk pula berpendapat peningkatan harga minyak akhirnya bergantung kepada keseimbangan antara dua faktor iaitu pembeli berebut bekalan terhad dengan harga apa pun ‘melawan’ pembeli keluar dari pasaran akibat kemusnahan permintaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN