TEHERAN: Iran menyasarkan kemudahan minyak dan gas di seluruh Teluk pada Rabu selepas Israel membunuh Menteri Perisikan, Esmail Khatib menandakan satu lagi tamparan terhadap kepimpinannya.
Kematian Khatib menyusuli kematian ketua keselamatan, Ali Larijani yang mana pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei yang tidak kelihatan sejak menggantikan bapanya yang terbunuh berikrar untuk membalas dendam.
Gelombang pembunuhan bersasar itu telah menghapuskan ramai pemimpin kanan Iran, walaupun pegawai perisikan tertinggi Washington berkata, kerajaan itu masih kekal, namun telah dilemahkan, selepas hampir tiga minggu peperangan.
Teheran berikrar untuk memusnahkan industri minyak dan gas negara jiran di Teluk sekiranya terdapat serangan lanjut ke atas sektor tenaganya sendiri selepas satu serangan ke atas medan South Pars, rizab gas terbesar di dunia.
“Kami sekali lagi memberi amaran bahawa anda telah melakukan kesilapan besar dengan menyerang infrastruktur tenaga republik Islam, yang mana tindak balasnya sedang dilaksanakan,” kata Pengawal Revolusi Republik Islam Iran dalam satu kenyataan yang disiarkan media Iran.
“Jika ia berulang lagi, serangan lanjut ke atas infrastruktur tenaga anda dan sekutu anda tidak akan berhenti sehingga ia dimusnahkan sepenuhnya dan tindak balas kami akan jauh lebih keras daripada serangan malam ini,” tambah kenyataan itu.
Televisyen negara Iran melaporkan bahawa sebahagian kemudahan gas yang terletak di Zon Ekonomi Khas South Pars di Asaluyeh telah terkena peluru yang ditembak oleh musuh Amerika-Zionis.
Tentera Israel tidak memberi respons terhadap permintaan komen mengenai dakwaan itu, manakala sumber Amerika Syarikat (AS) berkata, Washington mengetahui perkara tersebut tetapi tidak terlibat dalam serangan itu.
Amaran Iran itu dibuat selepas syarikat tenaga milik negara Qatar berkata, serangan peluru berpandu Iran telah mencetuskan kebakaran yang menyebabkan kerosakan besar di kemudahan gas utamanya. Qatar bertindak balas dengan mengusir dua diplomat Iran.
Arab Saudi berkata ia berjaya mematahkan serangan dron ke atas infrastruktur tenaga di timur negara itu, manakala serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas jatuh berhampiran sebuah kilang penapisan di selatan Riyadh.
Serangan-serangan itu mencetuskan lonjakan harga minyak sekali lagi, yang sudah pun tinggi akibat penutupan hampir sepenuhnya Selat Hormuz.
Kempen AS-Israel bermula dengan serangan yang membunuh pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dan sejak itu telah menyingkirkan beberapa pegawai kanan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, tentera boleh terus menyasarkan pegawai kanan tanpa memerlukan kelulusan lanjut.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyifatkan kematian Khatib sebagai pembunuhan pengecut.
Selepas orang ramai berkumpul di Teheran untuk pengebumian Larijani, Khamenei berikrar untuk membalas dalam satu mesej bertulis.
“Setiap titisan darah yang tertumpah ada harganya, dan para pembunuh jenayah terhadap syuhada ini akan segera membayarnya,” kata Khamenei.
Khamenei tidak muncul di khalayak sejak perang bermula pada 28 Februari lalu, mencetuskan sindiran daripada Presiden AS, Donald Trump bahawa beliau mungkin sudah tidak lagi hidup.
Pengebumian Larijani diadakan bersama dengan pengebumian Gholamreza Soleimani, ketua Basij yang turut terbunuh minggu ini dan puluhan kelasi Iran yang terbunuh apabila tentera AS menenggelamkan kapal perang mereka di luar pantai Sri Lanka awal bulan ini.
Pihak berkuasa tempatan berkata, Larijani akan dikebumikan di sebuah makam yang popular dalam kalangan jemaah di bandar Qom. – AFP










