TOKYO: Detik-detik seorang menteri wanita Jepun berlari untuk memasuki mesyuarat selepas terlewat lima minit dan kemudian memohon maaf kepada seluruh rakyat negara itu mendapat pujian rakyat.
Menteri Keselamatan Ekonomi Jepun, Kimi Onoda itu keluar dari sebuah teksi dan berlari masuk ke mesyuarat Kabinet pada pagi Jumaat di Tokyo.
Satu rakaman video memaparkan menteri berusia 43 tahun tersebut berlari untuk memasuki ke dalam bangunan dengan membawa beg tangan di tangan kanan.
Beliau melepasi barisan pengamal media sambil ditemani seorang pembantu yang turut berlari di sisinya.
Onoda kemudian dilihat bergegas turun melalui tangga menuju ke bilik mesyuarat.
Kru-kru kamera turut merakam detik Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, melangkah masuk ke dalam bilik tersebut manakala anggota Kabinet lain berdiri dan membutangkan baju kot mereka.
Beberapa saat kemudian, ketika menteri-menteri lain mengambil tempat masing-masing, kamera menunjukkan kerusi kosong milik Onoda.
Menteri daripada Parti Liberal Demokratik itu kemudian memohon maaf kepada seluruh rakyat Jepun dengan menyatakan bahawa kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas yang menyusul menjadi punca kelewatannya.
Onoda, seorang tokoh sayap kanan yang popular dengan pandangan tegas terhadap pendatang, menjelaskan kepada rakyat negaranya bahawa beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat kemalangan mengejut dan tidak dapat bergerak.
“Saya akan kekal berwaspada supaya dapat bertindak balas terhadap sebarang keadaan yang tidak dijangka,” katanya.
Ketepatan masa adalah sangat penting dan kelewatan di Jepun dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak sopan. Bagaimanapun, warga maya memuji Onoda susulan permohonan maaf itu. – AGENSI










