Lebih 15,000 penumpang kapal persiaran terperangkap di perairan Teluk

Lebih 15,000 penumpang kapal persiaran terperangkap di perairan Teluk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memaklumkan kira-kira 20,000 pelaut dan 15,000 penumpang kapal persiaran masih terperangkap di Teluk dalam perang Iran yang turut melumpuhkan sektor pengangkutan.

Setiausaha Agung IMO, Arsenio Dominguez berkata, di samping impak ekonomi daripada serangan yang membimbangkan ini, ia juga merupakan satu isu kemanusiaan.

Jelas agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu, ia kerana tiada sebarang serangan ke atas pelaut yang tidak bersalah boleh dijustifikasikan.

Beliau turut mengulangi seruannya agar semua syarikat perkapalan mengambil langkah berhati-hati tahap maksimum apabila beroperasi di wilayah yang terjejas.

Pembekuan aktiviti perjalanan ini merupakan sebahagian daripada gangguan yang semakin meningkat terhadap pelbagai industri akibat perang di Asia Barat, dengan sektor pelancongan antara yang paling terjejas teruk oleh konflik di seluruh rantau tersebut.

Menurut unjuran Global Forecasting, jumlah ketibaan pelancong dijangka merosot sehingga satu perempat bagi perbandingan tahun ke tahun pada 2026.

Selain pelancong, para pelaut turut berdepan risiko kehilangan nyawa di mana dua kru warga India dilaporkan terkorban dalam serangan ke atas sebuah kapal tangki semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Ashish Kumar dan Dalip Singh maut dalam serangan terhadap kapal tangki minyak Skylight yang berbendera Palau di Teluk Oman.

Kebanyakan kapal yang terjejas sepatutnya melalui Selat Hormuz, namun laluan tersebut hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran sejak bermulanya peperangan.

Dilaporkan sekitar 23,000 kru warga India masih terdampar berhampiran Selat Hormuz manakala trafik maritim di selat itu hampir terhenti sepenuhnya.

Kejatuhan trafik laut dicatatkan sebanyak 80 peratus pada hujung minggu lepas dan transit kapal tangki minyak merosot sehingga 90 peratus berbanding minggu sebelumnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN