Lebih 120 maut serangan Israel ke atas Lubnan - Utusan Malaysia

Lebih 120 maut serangan Israel ke atas Lubnan

KEPULAN asap akibat serangan Israel di selatan Beirut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Serangan udara Israel menyebabkan kemusnahan besar di pinggir selatan Beirut dengan angka kematian dilaporkan meningkat kepada 123 orang selepas tentera Israel melancarkan gelombang bedilan yang memusnahkan sasaran milik Hizbollah.

Media kerajaan Lubnan melaporkan awal pagi semalam, Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar di selatan Lubnan yang turut menyebabkan lebih 683 orang cedera.

“Musuh (Israel) melancarkan serangan malam ke atas bandar Srifa, Aita al-Shaab, Touline, as-Sawana dan Majdal Selem. Serangan lain mengenai bandar timur Lubnan, Douris, pada waktu subuh,” lapor Agensi Berita Nasional rasmi (NNA).

Hizbollah mengeluarkan arahan mengosongkan kawasan sempadan selepas Israel mengugut penduduk supaya meninggalkan pinggir selatan Beirut, mencetuskan pemindahan besar-besaran dari kawasan padat penduduk di Dahiyeh yang menempatkan lebih setengah juta orang.

Tentera Israel mendakwa melancarkan 26 siri serangan di Dahiyeh dan menyerang pelbagai infrastruktur yang digunakan oleh Hizbollah, termasuk ibu pejabat Majlis Eksekutif kumpulan itu dan sebuah gudang menyimpan dron.

“Pencerobohan tentera rejim Zionis terhadap kedaulatan Lubnan dan warga awam yang selamat, kemusnahan infrastruktur awam serta kempen pengusiran yang dijalankan tidak akan dibiarkan begitu sahaja,” kata kumpulan pejuang itu.

Hizbollah mendakwa bertanggungjawab ke atas gelombang serangan awal Jumaat ke atas pasukan darat Israel, termasuk mereka yang memasuki wilayah Lubnan sejak beberapa hari lalu.

Dalam kenyataan di Telegram, Hizbollah berkata, pejuangnya menyerang pasukan Israel di beberapa kawasan, termasuk Maroun al-Ras dan Kfar Kila, dalam wilayah Lubnan.

Hezbollah juga menyerang kem tentera Yoav Israel di Bukit Golan dan pangkalan tentera laut di pelabuhan Haifa, menurut kenyataan itu.

Ratusan keluarga yang dipindahkan terpaksa mencari perlindungan di sebuah pantai di Beirut.

Wartawan Al Jazeera, Zeina Khodr berkata, krisis kemanusiaan semakin meningkat, dengan orang ramai yang mencari perlindungan bersama anak-anak kecil terpaksa berteduh di tepi-tepi  jalan.

“Sekolah tidak cukup untuk menempatkan ratusan ribu orang yang terpaksa melarikan diri dari rumah mereka selepas ancaman pengusiran paksa Israel di pinggir selatan Beirut semalam. Ramai penduduk mengadu mereka bukan haiwan dan anak-anak mereka sedang kesejukan.

“Arahan pemindahan paksa dikeluarkan tetapi ramai yang tiada sebarang pengangkutan. Bukan sahaja warga Lubnan yang tinggal di pinggir selatan Beirut, tetapi juga pelarian Syria dan pelarian Palestin,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN