Khamenei terkorban kerana peluru berpandu Israel dari angkasa - Utusan Malaysia

Khamenei terkorban kerana peluru berpandu Israel dari angkasa

AYATOLLAH ALI KHAMENEI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV –  Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dibunuh di kompleks kediaman merangkumi pejabatnya dengan menggunakan peluru berpandu Israel yang memasuki semula atmosfera Bumi sebelum mengenai sasaran di Teheran, Sabtu lalu.

Menurut maklumat yang baharu diperoleh dan disiarkan di laman berita MailOnline, jet Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan peluru berpandu Blue Sparrow pada pukul 9.40 pagi waktu tempatan.

Serangan itu turut melibatkan sekurang-kurangnya 30 peluru berpandu ke arah  kompleks Ayatollah di tengah Teheran.

Peluru berpandu yang dihasilkan di Israel dan mampu pergi sejauh 1,995 kilometer, seberat kira-kira 1.9 tan, pada asalnya dicipta untuk menguji sistem pertahanan udara.

Namun, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, ia telah diubah suai untuk digunakan sebagai peluru berpandu dari udara ke darat kerana kelajuannya yang tinggi.

Keupayaannya keluar dan masuk semula ke atmosfera Bumi menjadikannya sangat sukar untuk dipintas.

Selepas dilancarkan dari jet pejuang, roket pendorong membawa peluru berpandu itu ke angkasa. 

Ia kemudian berpisah daripada roket pendorong dan menuju ke sasaran.

Selepas itu, peluru berpandu tersebut memasuki semula atmosfera dan mengenai sasaran.

Dalam pada itu, jeneral-jeneral Israel memperdayakan Iran untutk berasa selamat pada jam-jam sebelum pembunuhan Khamenei.

Mereka ‘berlakon’ dengan meninggalkan ibu pejabat tentera untuk sambutan hari rehat kaum Yahudi dikenali sebagai Shabbat palsu sebelum kembali secara senyap dengan menyamar, menurut pendedahan IDF.

Maklumat baharu itu menjelaskan bagaimana Ayatollah tersebut berasa cukup selamat untuk keluar dari tempat persembunyian bagi menghadiri satu mesyuarat di kompleks pejabatnya yang juga kediamannya itu bersama pegawai-pegawai  tertinggi.

Pesawat pejuang Israel kemudian melancarkan serangan bertubi-tubi dengan 30 peluru berpandu, termasuk peluru berpandu canggih Blue Sparrow yang mampu terbang hingga ke pinggir angkasa sebelum mengenai sasaran.

Bagaimanapun, keseluruhan operasi itu hanya dapat dilaksanakan melalui taktik penipuan oleh kepimpinan Israel. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN