BEIJING: Kereta api penumpang antara China dan Korea Utara dijangka disambung semula pada Khamis, enam tahun selepas ia dihentikan pada 2020 akibat pandemik Covid-19, menurut ejen pelancongan.
Perkhidmatan itu dibuka kepada warga China yang bekerja dan belajar di Korea Utara, serta rakyat Korea Utara yang bekerja, belajar, dan melawat keluarga di luar negara, menurut ejen tiket rasmi di Beijing dan Dandong.
Pelancong bagaimanapun masih belum layak membeli tiket.
“Amat menggembirakan melihat perkhidmatan kereta api antarabangsa disambung semula,” kata Pengurus Pelancongan di Young Pioneer Tours, Rowan Beard kepada AFP pada Selasa.
Beliau mengesahkan syarikatnya, salah satu daripada beberapa firma yang mengkhususkan perjalanan ke Korea Utara, juga akan dapat menempah tiket bermula Khamis.
“Walaupun pada awalnya ia bukan untuk pelancong, ia akan menyediakan pilihan perjalanan lain apabila pelancongan ke Korea Utara kembali, sebagai alternatif kepada penerbangan,” jelasnya.
Perjalanan kereta api antara kedua-dua negara dihentikan pada 2020 apabila mereka mengenakan langkah ketat untuk membendung penularan Covid-19.
Tahun lepas, penerbangan terus dan perkhidmatan kereta api disambung semula antara Korea Utara dan Russia, apabila kedua-dua negara semakin rapat sejak perang di Ukraine meletus.-AFP










