PARIS: Dua bulan pertama 2026 menyaksikan bilangan kematian migran tertinggi di Mediterranean, walaupun cubaan penyeberangan ke Eropah berkurang, menurut data daripada Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Sekurang-kurangnya 655 orang mati atau hilang pada Januari dan Februari, lebih dua kali ganda berbanding 287 orang yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.
Badan NGO dan penyelidik berkata, kematian berlaku akibat pelbagai punca termasuk ribut, komplikasi dalam operasi menyelamat, dan penutupan sempadan.
Frontex, agensi kawalan sempadan Kesatuan Eropah (EU), minggu lalu mengaitkan jumlah kematian yang tinggi itu dengan keadaan cuaca ekstrem sepanjang tempoh tersebut, seperti Taufan Harry, yang melanda rantau Mediterranean pada pertengahan Februari.
Frontex, yang memuji penurunan penyeberangan tidak sah dalam tempoh dua bulan itu, turut menyalahkan penyeludup manusia yang menurut mereka membawa migran ke laut menggunakan bot yang rapuh.
Penyelidik Badan Sains Perancis (CNRS), Arnaud Banos berkata, perjanjian Itali dengan Tunisia dan Libya untuk menahan migran yang ingin sampai ke Eropah juga memperkuat rangkaian penyeludupan, yang kini beroperasi lebih jauh daripada bandar dan kawasan biasa digunakan sebagai titik permulaan.
“Semakin kita memberi tekanan untuk menghalang keberangkatan, semakin kita mewujudkan keadaan ideal untuk penyeludup, yang meningkatkan risiko kepada migran.
“Penyeberangan menjadi lebih panjang dan mereka sangat terdedah kepada angin dan arus kuat. Laluan itu memang kurang dipantau, tetapi bot yang digunakan juga kurang kelihatan oleh pasukan penyelamat. Laluan darat ke Eropah, melalui Balkan, praktikalnya ditutup sepenuhnya, jadi laut menjadi satu-satunya laluan yang tinggal.
“Pada akhirnya, apa yang kita lakukan adalah meningkatkan risiko. Semakin kita kata mahu mengamankan sempadan atas alasan kemanusiaan, semakin kita meningkatkan bahaya. Ia adalah kitaran yang tiada penghujungnya,” katanya.
NGO turut mengecam halangan terhadap operasi menyelamat yang mereka jalankan di laut, termasuk birokrasi hingga peranan baharu tentang di mana mereka boleh mendaratkan migran yang diselamatkan.
“Pihak berkuasa Itali kini menetapkan pelabuhan selamat kepada kami segera selepas operasi menyelamat pertama, yang kadang-kala mencecah lebih seribu kilometer jauhnya.
“Ini bermakna kami secara aktif dipaksa atau diminta mengabaikan kes-kes kecemasan lain di sekitar dan ini adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa,” jelas jurucakap Sea-Watch, Giulia Messmer.
Beliau berkata, NGO Jerman itu sedang melobi untuk program mencari dan menyelamat Eropah yang menjaga orang dalam kesusahan.
Beliau juga berkata, tentera Libya secara aktif menembak orang dalam kesusahan di laut.
Satu lagi faktor yang mendorong migran menaiki bot rapuh, kata badan kebajikan, adalah kurangnya peluang laluan sah untuk masuk ke Eropah.
Jerman, misalnya, mengambil sekitar satu juta pelarian dari Syria, Afghanistan dan Iraq pada 2015. Tetapi sejak itu, Berlin mengetatkan peraturan mengenai penyatuan keluarga dan memperoleh kewarganegaraan Jerman.
Britain mengumumkan penamatan visa pelajar untuk warga Afghanistan, Cameroon, Myanmar dan Sudan.
“Apa yang Frontex tidak sebut adalah rangkaian jenayah ini masuk di mana terdapat permintaan, kerana keadaan hidup begitu teruk di negara asal dan tiada cara sah untuk datang,” kata seorang antropologi, Filippo Furri yang menulis bersama sebuah buku mengenai kematian di Mediterranean.
“Agensi sempadan EU hanya mengira orang yang tiba di sempadan luar blok itu, bukan jumlah keberangkatan yang cuba sampai ke Eropah, katanya,” kata seorang antropologi, Filippo Furri yang menulis bersama sebuah buku mengenai kematian di Mediterranean.
Katanya, jumlah kematian yang dikira bagi mereka yang cuba membuat penyeberangan adalah jauh lebih rendah daripada realiti sebenar.-AFP










