BEIJING: Seorang lelaki warga China menggunakan radio maritim awam untuk mewujudkan ‘stesen suara keluarga’ bagi membolehkan pelaut yang terkandas di Selat Hormuz menyampaikan mesej keselamatan kepada keluarga mereka.
Liu Yiwen, yang berasal dari wilayah Jilin di timur laut China, merupakan pegawai kedua di sebuah kapal komersial Singapura yang kini sedang berlabuh berhampiran pelabuhan Khor Fakkan di bawah pentadbiran Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor media rasmi China, CCTV.
Kapal berkenaan pada asalnya merancang untuk menuju ke Teluk Parsi bagi memuatkan gas petroleum cecair (LPG), namun terperangkap di laluan air yang dilanda konflik itu bersama ratusan kapal lain selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan perang bersama terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Memandangkan kebanyakan pelaut berhadapan dengan sekatan isyarat telekomunikasi, Yiwen dianggap bertuah kerana masih boleh mengakses internet memandangkan kapalnya berada berhampiran daratan, walaupun sambungannya tidak stabil.
Kapal-kapal biasanya berkomunikasi sesama sendiri melalui radio VHF (frekuensi tinggi), yang berfungsi seperti walkie-talkie maritim kerana ia hanya beroperasi pada jarak dekat.
Yiwen berkata, pada awal Mac lalu, dia terdengar seorang pelaut China bertanya melalui radio VHF jika ada pihak lain yang mempunyai akses internet, sambil menambah bahawa individu tersebut merasa bimbang kerana tidak dapat menghubungi keluarganya.
“Keluarga saya sering menghantar mesej melalui platform media sosial sejak kebelakangan ini. Jadi saya berfikir keluarga mereka juga pasti sedang bimbang,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan pelaut tersebut bahawa beliau mempunyai akses internet di kapalnya dan menawarkan diri untuk menambah akaun media sosial isteri pelaut itu bagi membantu komunikasi.
Dalam beberapa keadaan, Yiwen turut membantu memudahkan perbualan singkat secara masa nyata antara pelaut dan keluarga mereka di China menggunakan radio VHF dan pembesar suara selepas membuat panggilan audio di media sosial.
Berita mengenai usaha murni ini telah mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan rata-rata pengguna menyatakan rasa kagum terhadap tindakan tersebut. -AGENSI










