Kedutaan AS gesa rakyat tinggalkan Iraq serta-merta

Kedutaan AS gesa rakyat tinggalkan Iraq serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baghdad mengeluarkan amaran keras kepada semua warganegaranya agar meninggalkan Iraq dengan serta-merta berikutan ancaman keselamatan yang semakin meruncing.

Satu amaran keselamatan telah dikeluarkan oleh pihak kedutaan berikutan serangan sedia ada dan ancaman serangan daripada kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Iran.

Ini termasuk serangan peluru berpandu yang mengenai tapak pendaratan helikopter di kedutaan AS semalam yang terletak di dalam kawasan kawalan ketat Zon Hijau.

“Militia pengganas yang bersekutu dengan Iran telah menyerang Zon Antarabangsa di tengah Baghdad dalam beberapa kejadian.

“Serangan berulang juga telah berlaku di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil dan Konsulat Jeneral.

“Jangan cuba datang ke Kedutaan di Baghdad atau Konsulat Jeneral di Erbil berikutan risiko serangan roket, dron dan mortar yang berterusan di ruang udara Iraq,” kata kenyataan kedutaan yang dimuat naik di platform X.

Ketika ini, Jabatan Negara AS masih mengekalkan amaran agar rakyatnya tidak melancong ke negara yang bersempadan dengan Iran itu.

Amaran tersebut menyatakan militia pengganas merupakan ancaman besar kepada keselamatan awam di Iraq di mana AS mengekalkan pangkalan tenteranya sejak Perang Iraq bermula pada 2003.

Kedutaan itu mengulangi nasihat perjalanan Tahap 4 dengan memberi amaran keganasan, penculikan, konflik bersenjata dan pergolakan awam menimbulkan risiko besar, dan kerajaan AS mempunyai keupayaan yang terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada rakyat Amerika di negara itu.

Rakyat AS digesa untuk keluar serta-merta, namun memandangkan tiada penerbangan komersial buat masa ini, pihak kedutaan menasihatkan penggunaan laluan darat melalui sempadan Jordan, Kuwait, Arab Saudi, dan Turkiye. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN