Kapal perang kedua Iran menuju perairan Sri Lanka selepas serangan kapal selam AS

Kapal perang kedua Iran menuju perairan Sri Lanka selepas serangan kapal selam AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GALLE: Sebuah kapal perang kedua Iran sedang menuju ke perairan wilayah Sri Lanka pada Khamis, sehari selepas insiden serangan kapal selam Amerika Syarikat (AS) yang memusnahkan frigat Teheran dan mengorbankan sekurang-kurangnya 87 kelasi.

Menteri Media Sri Lanka, Nalinda Jayatissa berkata, kapal perang kedua Iran itu kini berada tepat di luar perairan Sri Lanka, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake pada Khamis mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan tindak balas terhadap permintaan Iran untuk memasuki perairan selamat negara itu, menurut sumber rasmi.

Mereka berkata, kapal tersebut membawa lebih 100 kru dan dikhuatiri turut menjadi sasaran seperti kapal sekelasnya yang ditenggelamkan oleh kapal selam AS di luar pantai selatan Sri Lanka pada Rabu.

Serangan itu berlaku ketika perang AS–Israel ke atas Iran terus merebak di Asia Barat dan kawasan lain.

Sementara itu, pihak berkuasa di bandar pelabuhan selatan Galle sedang membuat persiapan pada Khamis untuk menyerahkan jenazah 87 kelasi Iran yang terbunuh dalam serangan torpedo yang didakwa dilakukan tentera AS.

Pegawai di hospital utama Galle berkata, 32 warga Iran yang diselamatkan masih menerima rawatan di bawah kawalan keselamatan ketat polis serta komando elit.

Unit Rawatan Kecemasan hospital itu ditutup kepada pelawat dan pesakit lain, dengan pihak perubatan menyediakan wad berasingan khusus untuk mangsa dari Iran.

“Kebanyakan mereka mengalami kecederaan ringan, tetapi ada beberapa yang mengalami patah tulang dan melecur,” kata seorang jururawat hospital yang enggan dikenali.

Jurucakap tentera laut Sri Lanka, Buddhika Sampath memberitahu AFP, kapal tentera laut negara itu masih meneruskan operasi mencari kelasi Iran yang hilang.

Kapal perang itu sempat menghantar panggilan kecemasan pada awal pagi Rabu, namun sudah tenggelam sepenuhnya ketika kapal penyelamat Sri Lanka tiba di lokasi.

Serangan itu berlaku kira-kira 40 kilometer di selatan Galle, menurut tentera laut tempatan.

Kapal perang tersebut dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri latihan ketenteraan di pelabuhan timur Visakhapatnam di India.

Iran setakat ini belum mengulas mengenai insiden itu.

Sri Lanka mengekalkan pendirian berkecuali dan berulang kali menggesa dialog bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.

Iran merupakan antara pembeli utama teh Sri Lanka, yang merupakan komoditi eksport utama negara itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN