Kapal pengangkut pesawat AS terpaksa berundur dari perang Iran - Utusan Malaysia

Kapal pengangkut pesawat AS terpaksa berundur dari perang Iran

KAPAL USS Gerald R Ford mengalami kerosakan termasuk sistem tandasnya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CRETE, Crotia: Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$13 billion (RM52 billion) dilaporkan telah diketepikan daripada operasi dalam konflik Iran selepas mengalami siri kegagalan teknikal, bermula daripada masalah sistem tandas mesra alam yang gagal berfungsi sehingga kepada kejadian kebakaran yang memusnahkan sebahagian struktur kapal tersebut. 

Menurut laporan New York Post, USS Gerald R Ford yang merupakan kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia dan paling mahal pernah dibina oleh AS, mungkin terpaksa dihentikan operasinya  sehingga setahun. 

Kapal sepanjang 34 meter  itu telah meninggalkan Laut Merah dan kini berlabuh di Crete untuk kerja-kerja pembaikan selepas ditarik balik daripada zon konflik hanya dua minggu selepas menyertai operasi menentang Iran.

Sebelum ini, kapal berkenaan telah dibelenggu pelbagai isu selama bertahun-tahun, termasuk masalah berterusan pada sistem sanitasi yang dikesan sejak sekurang-kurangnya pada tahun 2020. Masalah tersumbat kerap berlaku dan kerja-kerja pembaikan dilaporkan telah menelan belanja sekurang-kurangnya AS$4 juta (RM16  juta). 

Pakar tentera laut, Steve Wills, menjelaskan bahawa tandas mesra alam tersebut tidak dapat menjalankan fungsi pengepaman dengan sempurna. 

Katanya, ia tidak  mempunyai sistem tekanan yang sama seperti tandas biasa. 

Isu ini berpunca daripada sistem pengumpulan vakum, simpanan dan pemindahan kapal tersebut, iaitu reka bentuk berteknologi tinggi diadaptasi daripada industri kapal persiaran yang memerlukan penyelenggaraan berterusan.

Laporan Pejabat Akauntabiliti Kerajaan (GAO) pada tahun 2020 mendapati sistem tersebut memerlukan penyelenggaraan harian yang sangat membebankan, di mana setiap proses dikenali sebagai pam asid menelan belanja sekitar AS$400,000 (RM1.6 juta). 

Senator Virginia, Tim Kaine, turut menyuarakan kebimbangan awal bulan ini mengenai kegagalan sistem pembetungan berlarutan dan kemudahan dobi yang tidak dapat beroperasi berikutan penempatan kapal tersebut dilanjutkan.

Sebelum berundur  daripada perkhidmatan, kapal pengangkut itu telah beroperasi di Asia Barat bagi menyokong usaha AS menentang Iran.

Pada 12 Mac, satu kebakaran berlaku di bilik dobi utama USS Gerald R. Ford.

Menurut tentera AS, dua kelasi cedera dan dirawat untuk kecederaan yang tidak mengancam nyawa.  Kira‑kira 100 tempat tidur di kapal tersebut mengalami kerosakan akibat terbakar. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN