JAKARTA: Indonesia mengesahkan pada Isnin salah seorang anggota pengamannya maut di Lubnan, selepas satu peluru berpandu mengenai posisi pasukannya di lokasi tersebut.
Perang di Asia Barat merebak ke Lubnan pada awal Mac selepas Hizbollah yang disokong Iran menembak roket ke arah Israel.
Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) melaporkan pasukannya terkena serangan lebih daripada sekali sejak permulaan pertempuran terkini.
Pada Ahad, satu projektil meletup berhampiran bandar Adchit Al Qusayr, mengorbankan seorang anggota pengaman, menurut UNIFIL.
UNIFIL berkata, pihaknya tidak mengetahui dari arah mana peluru berpandu tersebut datang tetapi sudah memulakan siasatan bagi mengenal pasti puncanya.
Kementerian Luar Indonesia menyatakan tembakan artileri tidak langsung berhampiran Adchit Al Qusayr telah meragut nyawa seorang anggota pengaman dan mencederakan tiga yang lain.
“Fikiran dan doa kami bersama keluarga yang ditinggalkan, dan kami mendoakan agar anggota yang cedera pulih sepenuhnya dengan cepat.
“Indonesia bekerjasama dengan UNIFIL untuk memastikan penghantaran pulang anggota yang terkorban dengan segera dan rawatan perubatan terbaik bagi mereka yang cedera,” kata kementerian itu.
Indonesia mengecam sekeras-kerasnya insiden ini dan menuntut siasatan, sambil menegaskan keselamatan anggota pengaman PBB mesti dihormati ‘pada setiap masa’.
Adchit Al Qusayr terletak berhampiran sempadan selatan Lubnan dengan Israel, di mana pasukan Israel telah bertempur dengan pejuang Hizbollah selama hampir sebulan.
Pada 7 Mac, tiga anggota tentera Ghana cedera akibat tembakan di sebuah bandar sempadan di selatan Lubnan.-AFP










