WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menerbitkan dokumen tambahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengandungi temubual dengan seorang wanita yang mendakwa Presiden, Donald Trump menyerangnya secara seksual selepas diperkenalkan kepadanya oleh pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.
Dokumen itu sebelum ini tidak didedahkan dalam pelepasan fail yang diwajibkan oleh Kongres berkaitan pesalah seks yang telah meninggal dunia itu kerana ia secara salah ditanda sebagai pendua, menurut jabatan berkenaan.
Parti Demokrat sedang menyiasat cara pentadbiran Trump mengendalikan fail-fail Epstein.
Dokumen yang diterbitkan itu termasuk keterangan beberapa temubual yang dibuat FBI pada 2019 dengan wanita tersebut, yang mendakwa dia diserang oleh Epstein dan Trump ketika berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Dalam satu temubual, wanita itu berkata, Epstein membawanya ke New York atau New Jersey dan memperkenalkannya kepada Trump.
Dia memberitahu penyiasat yang dia menggigit Trump ketika Presiden AS itu cuba memaksanya melakukan seks oral ke atasnya.
Wanita itu berkata, dia dan orang-orang yang rapat dengannya menerima panggilan ugutan sepanjang tahun yang menuntut mereka berdiam diri, yang dipercayainya berkaitan dengan Epstein.
Trump menafikan sebarang salah laku berkaitan dakwaan Epstein, dan Jabatan Kehakiman sebelum ini memaklumkan beberapa dokumen yang diterbitkan mengandungi dakwaan tidak benar dan sensasi terhadap Trump.
Parti Demokrat menuduh pentadbiran Trump menutup butiran siasatan Epstein yang boleh memberi kesan negatif kepada Trump.
Pada Rabu, satu jawatankuasa Dewan Rakyat mengundi untuk memanggil Peguam Negara AS, Pam Bondi bagi menjawab soalan mengenai pengendalian dokumen oleh Jabatan Kehakiman.-AFP










