Israel serang jambatan utama di selatan Lubnan, musnah kediaman di sempadan

Israel serang jambatan utama di selatan Lubnan, musnah kediaman di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel menyerang sebuah jambatan utama yang menghubungkan selatan Lubnan dengan bahagian lain negara itu selepas mengarahkan tenteranya memusnahkan semua lintasan di atas Sungai Litani dan mempertingkatkan perobohan rumah berhampiran sempadan selatan.

Kemusnahan jambatan dan kediaman tersebut menandakan peningkatan ketara dalam kempen ketenteraan Israel di Lubnan, yang terseret ke dalam perang serantau pada 2 Mac apabila kumpulan bersenjata Hezbollah melepaskan tembakan ke wilayah Israel.

Undang-undang antarabangsa secara amnya melarang pihak tentera daripada menyerang infrastruktur awam dan ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengkritik tindakan Israel di Lubnan terutamanya penggunaan arahan pemindahan meluas yang menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

Serangan pada Ahad itu merosakkan lintasan di lebuh raya pesisir Lubnan yang merentasi kawasan ladang dan merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan selatan dan tengah Lubnan.

Jurucakap tentera Israel mengumumkan lebih awal pada Ahad bahawa pihak tentera akan menyerang jambatan berkenaan.

Seorang pensusuk, Lama al-Fares, yang tinggal di kawasan ladang bersebelahan lintasan itu berkata, keluarganya mengemas apa yang mampu ke dalam kereta sebaik sahaja melihat amaran tersebut.

Mereka memandu ke arah utara di lebuh raya dan menunggu di atas bukit yang menghadap laluan itu.

“Rumah kami terletak tepat di sebelah jambatan tersebut. Ia pernah musnah dalam perang lalu dan kami telah membina semula struktur asas untuk didiami, saya harap ia masih tegak berdiri,” katanya kepada Reuters.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun berkata, serangan itu merupakan ‘permulaan’ kepada pencerobohan darat dan dianggap sebagai dasar hukuman kolektif terhadap orang awam.

Beliau berkata, tindakan itu akan menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan dan berkemungkinan sebahagian daripada operasi mencurigakan untuk meluaskan kehadiran Israel di wilayah Lubnan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz sebelum ini menyatakan Lubnan mungkin berdepan kerosakan infrastruktur dan kehilangan wilayah jika kerajaannya tidak melucutkan senjata Hezbollah.

Serangan kedua Israel disasarkan ke jambatan tersebut pada petang Ahad, menurut media rasmi Lubnan.

Terdahulu, seorang warga Israel maut di dalam keretanya berhampiran sempadan yang didakwa Israel akibat pelancaran senjata dari wilayah Lubnan.

Lebih 10 jam selepas perkhidmatan ambulans Israel melaporkan kematian lelaki itu, pihak tentera berkata, mereka sedang menyiasat sama ada dia telah terbunuh akibat tembakan pihak Israel sendiri.

Dua tentera Israel dilaporkan turut terbunuh dalam pertempuran di Lubnan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN