TEL AVIV: Pegawai politik dan keselamatan Israel menjangkakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin mengumumkan gencatan senjata dengan Iran seawal Sabtu ini, lapor stesen televisyen Channel 12 News pada Rabu.
Laporan itu yang disampaikan oleh wartawan kanan Yaron Avraham, muncul ketika cadangan damai AS yang menyeluruh mengandungi 15 perkara telah dihantar ke Teheran melalui perantara Pakistan.
Ia selari dengan tarikh akhir lanjutan yang ditetapkan Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz.
Selepas pada awalnya mengeluarkan amaran terakhir 48 jam dan kemudian menangguhkan serangan yang dirancang ke atas loji kuasa Iran, Trump memberi Teheran sehingga hujung minggu ini untuk memenuhi tuntutannya.
Ia merupakan satu tempoh yang akan tamat pada hujung minggu ini.
Laporan Channel 12 itu menggariskan 14 daripada 15 syarat yang dikemukakan Washington kepada Iran sebagai terma untuk menamatkan konflik yang berlaku hampir sebulan itu.
Menurut tiga sumber yang mengetahui butirannya, pembantu kanan Trump, Jared Kushner dan Utusan Khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff telah merangka satu mekanisme yang akan bermula dengan tempoh gencatan senjata selama sebulan.
Dalam tempoh itu, kedua-dua pihak akan merundingkan syarat perjanjian yang lebih luas, satu rangka kerja yang dibandingkan dengan model gencatan senjata pentadbiran Trump sebelum ini di Gaza dan Lubnan.
Namun, prospek perjanjian pantas itu menimbulkan kebimbangan mendalam.
Stesen televisyen Channel 12 melaporkan bahawa kemungkinan perjanjian segera yang longgar dan tidak terperinci menyebabkan para pemimpin politik dan keselamatan Israel berasa resah.
Syarat-syarat dalam cadangan Amerika itu termasuk pembongkaran keupayaan nuklear Iran, larangan pengayaan uranium, penyerahan stok uranium diperkaya Teheran kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dan penutupan kemudahan nuklear utama di Natanz, Isfahan serta Fordow. – AGENSI











