Israel ambil kesempatan kuasai kedudukan baharu di Lubnan ketika perang Iran berterusan

Israel ambil kesempatan ceroboh sempadan Lubnan ketika perang Iran berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel melancarkan serangan baharu ke atas Iran dan Lubnan, membedil kediaman serta hotel di Beirut ketika Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan menutup salah satu laluan penghantaran minyak paling penting di dunia.

Kerajaan dunia tergesa-gesa memindahkan rakyat mereka yang terperangkap di Asia Barat, ketika Iran memperluas serangan balas dengan peluru berpandu dan dron pada hari kelima perang yang menyebabkan pasaran saham merosot.

Dengan harga tenaga global sudah meningkat akibat perang yang meluas, IRGC berkata, mereka mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, titik kritikal ke negara Teluk.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula mendakwa Washington sudah berjaya menumpaskan angkatan laut, udara serta sistem radar Iran dan Tentera Laut AS bersedia mengiringi kapal tangki melalui laluan utama minyak dunia itu.

Tentera AS berkata, mereka sudah menyerang hampir 2,000 sasaran sejak melancarkan serangan maut bersama Israel ke atas Iran pada hari Sabtu, yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Israel meneruskan pengeboman, dengan tenteranya me­ngumumkan gelombang serangan besar-besaran pada tengah malam ke atas Iran selepas Teheran melancarkan tiga siri serangan peluru berpandu ke arah rejim Zionis.

Arab Saudi mengesahkan berjaya memintas dua peluru berpandu, sementara dron Iran dilaporkan membedil kawasan berhampiran pejabat konsulat AS di Dubai dan pangkalan tentera AS di Al-Udeid.

AS menggalakkan semua warganya meninggalkan rantau itu jika dapat menaiki penerbangan komersial, walaupun perjalanan udara terganggu teruk, manakala kerajaan termasuk Britain dan

Perancis menghantar penerbangan khas untuk membawa keluar warganya.

SERANG HEZBOLLAH

Perang ini memberi impak besar ke atas Lubnan, selepas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan dron dan roket ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap perang dimulakan AS-Israel.

Awal Rabu, tentera Israel menasihati penduduk meninggalkan 16 bandar dan kampung di selatan Lubnan dalam amaran segera sebelum melancarkan seranga terhadap kubu Hezbollah.

Media negara Lubnan melaporkan serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Baalbek, timur Lubnan, jauh dari sempadan yang mengorbankan empat orang serta sebuah hotel di Beirut di kawasan yang sebelum ini terlepas daripada keganasan.

Di Aramoun dan Saadiyat, dua bandar selatan Beirut di luar kubu kuat Hezbollah, kementerian kesihatan berkata, serangan Israel membunuh enam orang dan mencederakan lapan yang lain dengan jumlah korban dijangka meningkat.

Belum jelas apa sasaran serangan rejim Zionis di bandar-bandar ini atau di Baalbek dan tiada ulasan segera daripada tentera Israel, yang sebelum ini mengumumkan serangan berskala besar ke atas Hezbollah.

KUASAI KEDUDUKAN BAHARU

Sementara itu, Israel dilaporkan sedang mewujudkan zon penampan di wilayah Lubnan dan mengarahkan tenteranya menguasai kedudukan tambahan merentasi sempadan, susulan beberapa peluru dilancarkan dari negara itu.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, beliau dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi kebenaran kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF) untuk mara dan menguasai kedudukan strategik tambahan di Lubnan bagi menghalang serangan ke atas komuniti sempadan Israel.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin berkata, pasukan tentera sedang mewujudkan zon penampan di dalam Lubnan.

“Secara praktikal, Pemerintah Wilayah Utara sudah mara, menguasai kawasan tanah tinggi strategik dan sedang mewujudkan zon penampan, seperti yang dijanjikan antara penduduk kami dan sebarang ancaman,” katanya.

Media negara Lubnan melaporkan tentera Israel memasuki bandar Khiam di selatan Lubnan, kira-kira enam kilometer dari sempadan Lubnan-Israel.

“Bandar Khiam sedang diserang secara berterusan dengan artileri, manakala tentera musuh Israel menembusi ke dalam bandar,” kata media negara itu.

Seorang sumber tentera Lubnan memberitahu AFP, Israel turut melancarkan serangan darat ke kawasan sempadan di selatan Lubnan, selari dengan kempen serangan udara mereka.

Pada Selasa, tentera Israel mendakwa menyerang lebih 160 sasaran Hezbollah di selatan Lubnan, termasuk anggota unit elit Radwan Force dan membunuh ketua risikan kumpulan itu, Hussein Muakalled.

Tentera Israel memaklumkan beberapa peluru dilancarkan dari Lubnan ke arah Israel, namun kebanyakannya berjaya dipintas.

Tentera Israel turut memberi amaran akan menyerang aset Hezbollah di bandar Tyre, yang menempatkan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta meminta penduduk di beberapa bangunan meninggalkan kawasan itu.

Sumber tentera Lubnan berkata, tindakan Israel mara ke kawasan sempadan membangkitkan kebimbangan mengenai cubaan mewujudkan zon keselamatan luas di selatan Lubnan.

AFPTV melaporkan beberapa siri serangan udara mengenai pinggir selatan Beirut, kawasan yang dikuasai Hezbollah tanpa sebarang amaran dengan lebih 65,000 penduduk terpaksa berpindah.

Pada masa sama, tentera Israel turut menyasarkan pusat arahan Hezbollah, kemudahan penyimpanan senjata dan komponen komunikasi satelit di Beirut, menurut kenyataan mereka.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN