TEHERAN: Iran melancarkan peluru berpandu baharu awal Selasa sambil menegaskan pendiriannya terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengancam untuk memusnahkan hab eksport minyak negara itu di Pulau Kharg serta loji elektrik dan penyahgaraman jika Teheran tidak segera menerima perjanjian menamatkan perang.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, rakan Trump dalam serangan ke atas Iran berkata, lebih separuh daripada objektif ketenteraan telah dicapai, namun kedua-dua pemimpin enggan menetapkan garis masa bagi operasi yang telah mencetuskan perang serantau dan melonjakkan harga minyak global itu.
Di Dubai, empat orang cedera awal pagi tadi akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas, manakala sebuah kapal tangki minyak Kuwait di pelabuhan terbakar, menurut pihak berkuasa di hab kewangan itu selepas reputasi kestabilannya terjejas akibat lebih sebulan perang.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, mereka berjaya memintas lapan peluru berpandu balistik. Beberapa jam sebelum itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi secara terbuka menggesa Arab Saudi ‘mengusir tentera AS’, sambil menyatakan Teheran tetap menghormati negara bersaudara itu.
Enggan berundur, satu jawatankuasa Parlimen Iran mengundi untuk mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan yang membawa satu perlima minyak dunia serta mengharamkan sepenuhnya kapal dari AS dan Israel.
Selat itu sebelum ini terbuka sebelum perang, namun Setiausaha Negara AS, Marco Rubio,baru-baru ini menyebut usaha membentuk gabungan bagi menentang pelan tol Iran.
“Tiada siapa di dunia boleh menerimanya.
“Ia mewujudkan contoh berbahaya yang boleh diikuti. Ini bermakna negara boleh mengambil alih laluan air antarabangsa dan mendakwa ia milik mereka,” katanya mengenai laluan yang pernah digelar Trump sebagai ‘Selat Trump’ itu.
Trump pula berkata, AS sedang berurusan dengan ‘rejim yang lebih munasabah’ di Teheran, namun Iran menafikan sebarang rundingan dan menuduh beliau berbohong sebagai helah ketika bersedia melancarkan serangan darat.
Trump memberi amaran jika tiada perjanjian dicapai termasuk membuka semula Selat Hormuz, tentera AS akan memusnahkan semua loji jana elektrik mereka, telaga minyak dan Pulau Kharg serta semua loji penyahgaraman.
Pakar menyatakan tindakan memusnahkan infrastruktur awam adalah menyalahi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.
Anggota pengaman maut di Lubnan
Israel turut meningkatkan serangan ke atas Lubnan, termasuk di Beirut dalam usaha melemahkan Hizbollah yang disokong Iran.
Misi PBB di Lubnan melaporkan dua anggota pengaman Indonesia terbunuh apabila letupan yang tidak diketahui puncanya memusnahkan kenderaan mereka, manakala dua lagi cedera, seorang daripadanya parah.
Seorang lagi anggota Indonesia turut terbunuh pada Ahad.
Tentera Israel berkata, siasatan telah dibuka untuk menentukan sama ada pihaknya atau Hizbollah yang bertanggungjawab.
Sebelum perang terkini, Indonesia yang merupakan negara majoriti Islam terbesar dunia, merancang menghantar pasukan ke Gaza bagi misi penstabilan selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Perancis, yang memainkan peranan penting di Lubnan, mengecam kematian anggota pengaman dan menggesa mesyuarat segera Majlis Keselamatan PBB, yang dijadual berlangsung pada Selasa.
Menteri ekonomi dan gabenor bank pusat dari kumpulan negara maju G7 pula bermesyuarat di Paris untuk membincangkan kesan perang, dengan banyak negara memperkenalkan langkah penjimatan tenaga atau mengurangkan cukai bahan api.
Pakar pasaran memberi amaran sebarang operasi darat AS atau tindak balas lebih luas Iran boleh melonjakkan harga minyak ke paras tertinggi sejak ledakan komoditi Julai 2008, apabila minyak Brent hampir mencecah AS$150 (RM603.48) setong.
Harga Brent telah meningkat hampir 60 peratus bulan ini, manakala penanda aras AS WTI naik lebih separuh.
Tekanan bertambah apabila pemberontak Houthi di Yemen melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel hujung minggu lalu, sekali gus mengancam laluan perkapalan di Laut Merah selain Teluk.
Netanyahu dakwa kejayaan
Netanyahu berkata, Israel telah mencapai objektif utama termasuk memusnahkan loji industri di Iran dan hampir menamatkan industri senjatanya.
“Ia sudah melepasi separuh jalan. Tetapi saya tidak mahu menetapkan jadual,” katanya kepada penyiar AS Newsmax.
Perang itu serta kenaikan harga minyak tidak popular di AS, dengan Rubio berkata, konflik dijangka berlanjutan beberapa minggu lagi dan bukan berbulan-bulan.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, yang negaranya terkesan dari segi ekonomi dan memainkan peranan sebagai orang tengah, merayu secara langsung kepada Trump untuk mencari jalan keluar.
“Tolong bantu kami menghentikan perang ini, anda mampu melakukannya,” katanya dalam sidang media.
Trump mendakwa beliau berhubung secara langsung dengan tokoh kanan Iran yang tidak didedahkan identitinya.
Rubio berkata, terdapat ‘perpecahan’ dalam republik Islam itu dan berharap pegawai Iran yang didakwa berhubung dengan Washington mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.
Namun jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei sekali lagi menafikan sebarang rundingan, dengan menyatakan AS hanya menghantar permintaan untuk berbincang melalui perantara termasuk Pakistan.
Selepas berminggu-minggu serangan, penduduk Teheran menggambarkan kehidupan yang masih berjalan seperti biasa dengan kafe dan restoran dibuka serta tiada kekurangan bekalan di pasar raya atau stesen minyak.
Langkah keselamatan bagaimanapun diperketatkan dengan sekatan jalan raya di sekitar ibu kota.
“Apabila saya dapat duduk di kafe walaupun beberapa minit, saya hampir percaya dunia belum berakhir.
“Kemudian saya pulang ke rumah, kembali kepada realiti hidup dalam perang, dengan segala kegelapan dan bebanannya,” kata seorang pembantu pergigian, Fatemeh, 27.-AFP










