Iran serang hab komersial Israel - Utusan Malaysia

Iran serang hab komersial Israel

Gambar itu menunjukkan sebuah bangunan yang rosak akibat serangan peluru berpandu Iran di Tel Aviv semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Iran melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu ke atas Israel pada Selasa, menyebabkan kerosakan dan kecederaan di Tel Aviv, ketika ketidaktentuan berterusan mengenai kemungkinan rundingan untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari di Asia Barat.

Imej-imej AFP menunjukkan jalan-jalan dipenuhi runtuhan dan sisi sebuah bangunan di hab komersial Israel itu musnah, ketika pasukan penyelamat bergegas membantu sekurang-kurangnya empat individu yang cedera ringan di empat lokasi berbeza.

Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai memberitahu wartawan bahawa satu serangan  telah menyasarkan sebuah bangunan di kawasan kejiranan mewah, dengan video AFP menunjukkan fasad bangunan tiga tingkat itu terkoyak.

KEROSAKAN

Menurut beberapa media Israel, polis percaya kerosakan itu berpunca daripada peluru berpandu jenis kluster yang dilengkapi tiga hingga empat hulu peledak, setiap satu membawa kira-kira 100 kilogram (kg) bahan letupan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, pentadbirannya sedang berhubung dengan seorang individu peringkat tertinggi yang tidak dikenal pasti, sambil memberi amaran bahawa jika rundingan gagal dalam tempoh lima hari, pihaknya akan terus mengebom tanpa henti.

Sejumlah kenderaan diisytiharkan rosak sepenuhnya selepas peluru berpandu itu menghentam jalan raya dan bangunan berhampiran mengalami kerosakan teruk.

Namun, tiada kecederaan serius dilaporkan. Empat orang dirawat akibat menyedut  asap yang sangat ringan dan tidak perlu dipindahkan ke hospital.

Perkhidmatan penyelamat Israel, Magen David Adom bagaimanapun berkata, sekurang-kurangnya enam orang cedera ringan di empat lokasi kesan serangan di bandar itu.

Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan kerosakan teruk pada sebuah bangunan dan beberapa kenderaan, dengan asap tebal menjulang di beberapa bahagian Tel Aviv.

Pasukan bomba dan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian di Tel Aviv, melaporkan kerosakan akibat letupan, struktur bangunan terjejas dan kenderaan terbakar.

Mereka memadamkan kebakaran, menjalankan operasi mencari mangsa yang mungkin terperangkap dan memutuskan sumber tenaga.

Pihak berkuasa kemudian memaklumkan bahawa beberapa orang ditemui berlindung di dalam tempat perlindungan di salah sebuah bangunan dan hubungan berjaya dibuat dengan mereka.

“Kehadiran mereka di tempat perlindungan telah mengelakkan sebarang korban,” kata pihak bomba.

Komander Daerah Tel Aviv, Haim Sargarof, berkata di lokasi kejadian: “Saya boleh katakan ini adalah peluru berpandu dengan hulu peledak kira-kira 100 kilogram. Terdapat kerosakan besar di sini.  Ini adalah serangan. Bahagian yang bernasib baik ialah ia mengenai tengah jalan dan bukan bangunan kediaman.”

Pada masa yang sama, daripada serangan peluru berpandu Iran yang sama sekitar pukul 7.30 pagi (waktu tempatan), sekurang-kurangnya dua apartmen di Rosh HaAyin turut mengalami kerosakan.

Pihak berkuasa bandar memaklumkan bahawa satu peluru yang belum meletup ditemukan di jalan utama. Unit pemusnah bom polis dan pasukan keselamatan kini berada di lokasi kejadian.

ANCAMAN

Pengawal Revolusi Republik Islam Iran mengancam pada Selasa untuk melancarkan serangan peluru berpandu dan dron  ke atas Israel sebagai apa yang mereka gambarkan sebagai sokongan kepada orang awam Lubnan dan Palestin.

“Kami memberi amaran kepada tentera jenayah rejim (Zionis)  bahawa jika jenayahnya terhadap orang awam di Lubnan dan Palestin berterusan, tentera Israel akan menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron yang berat,” kata Pengawal Revolusi dalam satu kenyataan.

Iran sedang berperang dengan Israel dan Amerika, manakala Israel juga sedang menentang Hizbollah yang disokong Teheran di Lubnan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, mesej telah diterima daripada beberapa negara sahabat yang menunjukkan permintaan AS untuk rundingan bagi menamatkan perang namun menafikan bahawa sebarang rundingan telah berlaku, menurut agensi berita  rasmi IRNA.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau telah berbincang dengan Trump dan mengaku Washington melihat kemungkinan mencapai perjanjian, tetapi berikrar untuk terus menyerang Iran dan Lubnan bagi melindungi Israel.

Perang ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,230 rakyat Iran, termasuk 1,406 orang awam, menurut agensi Human Rights Activists News Agency yang berpangkalan di AS. 

Namun, AFP tidak dapat mengakses lokasi serangan atau mengesahkan angka korban di Iran secara bebas. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN